TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu pembangunan komuniti luar bandar, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, keutamaan beliau adalah mengangkat martabat serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat tani, pekebun kecil dan nelayan yang majoritinya terdiri daripada golongan B40.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di Melalap atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Sekarang adalah masa untuk bekerja demi semua rakyat di Tenom dan Melalap. Tiada lagi isu siapa menyokong siapa atau siapa mengundi siapa, sebaliknya tanggungjawab kita adalah membantu rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Rumah Terbuka Natal DUN Melalap 2025 di Dewan Datuk Sanggau Jalang, di sini, hari ini, yang berlangsung dalam suasana muhibah melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kerjasama erat bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang serta Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan di kawasan pedalaman Tenom dan Kemabong dapat digerakkan secara selari dan berkesan.
Menurutnya, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah memperkasakan konsep Kebun Dapur bagi membuka peluang kepada penduduk kampung terlibat dalam aktiviti pertanian di kawasan kediaman masing-masing dengan kos rendah.
“Inisiatif ini bertujuan menyentuh kehidupan seramai mungkin rakyat, khususnya dalam menjamin keselamatan makanan dan menambah pendapatan isi rumah. Insya-Allah, ia akan dilancarkan pada awal tahun depan,” katanya.
Jamawi turut berharap proses pengembalian 40 peratus hasil cukai kepada Sabah yang sedang dimuktamadkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan dapat memberikan manfaat lebih besar kepada petani, penternak, nelayan serta pengusaha industri makanan di negeri ini.
Mengulas semangat perayaan, beliau berkata sambutan Krismas membawa mesej sejagat tentang kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan yang mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.
Jamawi bersama isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim turut mengucapkan Selamat Hari Natal 2025 dan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat DUN Melalap.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kemabong, Zakaria Jamal; Ketua Daerah Tenom, OKK Tusib Tulas; ahli Majlis Daerah Tenom serta pemimpin masyarakat setempat.



