KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot penumpang yang mencurigakan ketika operasi pemeriksaan rutin di perairan Kota Kinabalu, kira-kira 1.01 batu nautika barat laut Tanjung Lipat, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang juragan dan dua kru yang dipercayai warganegara Filipina masing-masing berusia antara 14 hingga 39 tahun.
Menurutnya lagi, pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan pasport, dokumen perjalanan atau permit sah semasa diperiksa.
“Susulan itu, bot bersama juragan dan kru ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan aset dianggarkan berjumlah RM30,000.
Dalam perkembangan sama, Khairulanuar menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi rondaan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.



