BEAUFORT : Kerja-kerja pembaikan cerun di kilometer (KM) 0.75 Jalan Binunuk yang sedang dilaksanakan dijangka dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko laluan terputus, khususnya ketika musim hujan dan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, masalah cerun yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu menjadi semakin kritikal pada 2023, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk serta keupayaan pasukan keselamatan untuk melalui laluan tersebut ketika kecemasan.

“Apabila berlaku banjir, laluan ini sering tidak dapat dilalui, menyebabkan pasukan keselamatan dan perkhidmatan kecemasan menghadapi kesukaran untuk sampai ke kawasan terjejas.
“Pembaikan cerun itu melibatkan laluan utama yang menjadi satu-satunya akses keluar masuk bagi Kampung Binunuk dan Kampung Balibata, yang dihuni kira-kira 2,000 penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pecah tanah projek pembaikan cerun KM0.75 Jalan Binunuk di sini pada Selasa.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, dengan pelaksanaan projek bernilai kira-kira RM5.5 juta itu, risiko runtuhan cerun dan gangguan pergerakan kenderaan akan dapat dikurangkan.

Katanya, ia sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya termasuk penduduk, peniaga serta pengusaha sektor pertanian dan industri kecil di kawasan berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga keselamatan awam, khususnya di kawasan luar bandar yang terdedah kepada ancaman bencana alam.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Dengan pembinaan dan pembaikan cerun ini, kita yakin masalah yang sering dibangkitkan sebelum ini dapat diselesaikan secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa lokasi lain yang dikenal pasti berisiko tinggi akibat hakisan tebing sungai di sepanjang Sungai Padas, termasuk di Lumatai dan Jalan Suasa, dicadangkan untuk kajian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun hadapan.
Katanya, langkah awal itu penting bagi memastikan isu keselamatan awam di kawasan berkenaan dapat ditangani lebih awal sebelum menjadi lebih kritikal pada masa depan. – SABAH MEDIA



