TAWAU: Dua individu maut selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 16, Jalan Apas–Balung, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.26 petang itu, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah lori 5 tan, Toyota Hilux dan sebuah motosikal, dengan lima mangsa terlibat secara keseluruhan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 28 kilometer.
“Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi memaklumkan dua mangsa lelaki dan perempuan iaitu penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Dua mangsa lelaki yang berada di dalam lori 5 tan mengalami kecederaan ringan selepas berjaya dikeluarkan oleh orang awam, manakala pemandu Toyota Hilux, seorang lelaki berusia 61 tahun, turut mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada kerja-kerja penyelamatan dijalankan oleh pihak bomba dan setelah memastikan keadaan selamat serta tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.



