HomeUtamaGLC digesa bantu inisiatif Dapur Siswa UMS

GLC digesa bantu inisiatif Dapur Siswa UMS

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digesa tampil menghulurkan sumbangan bagi menyokong inisiatif Dapur Siswa yang diperkenalkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan, khususnya yang datang dari luar bandar.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, sokongan GLC termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diyakini mampu memberi manfaat langsung kepada pelajar terlibat.

Katanya, inisiatif Dapur Siswa yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu berupaya memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar melibatkan dua kolej kediaman utama UMS iaitu Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Mustafa.

“Program ini sangat baik kerana ia membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup dan harga makanan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke dua buah Dapur Siswa itu di sini pada Jumaat.

Hadir sama Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansur.

James berkata, kerajaan negeri komited untuk terus membantu memastikan kelangsungan program tersebut dan akan memaklumkan kepada beberapa GLC serta syarikat berkemampuan agar turut sama menyumbang dalam bentuk bahan mentah makanan atau bantuan kewangan.

Sebagai tanda sokongan awal, James memaklumkan beliau telah membawa beberapa GLC di bawah kementeriannya dan turut menyumbangkan sumbangan peribadi sebanyak RM30,000 bagi menjayakan pelaksanaan dapur siswa berkenaan.

“Ini merupakan permulaan dan saya berharap lebih banyak GLC tampil bersama-sama bagi meringankan beban mahasiswa, sekali gus memastikan kebajikan pelajar sentiasa terpelihara,” katanya.

Program Dapur Siswa UMS menyediakan makanan asas seperti beras dan nasi yang dimasak oleh sukarelawan pelajar, manakala pelajar turut dibenarkan membawa bahan mentah sendiri atau mendapatkan lauk di kafeteria berhampiran.

Inisiatif yang mula diformalkan sejak November tahun lalu itu turut dirancang untuk diperluaskan ke kampus UMS di Labuan dan Sandakan, selari dengan hasrat kerajaan negeri memastikan kebajikan semua mahasiswa terus terjamin. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Penduduk diingatkan berwaspada kemungkinan banjir – Ruslan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular