KOTA KINABALU : Penduduk terjejas banjir khususnya di daerah Membakut dinasihatkan untuk sentiasa berhubung dengan jawatankuasa bencana atau Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan pegawai daerah telah bersedia dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan Komuniti Kampung (JKKK), ketua-ketua adat, serta pemimpin-pemimpin setempat.
“Ya, kita sudah bersedia. Jawatankuasa juga yang dipengerusikan oleh pegawai daerah sudah bersedia dengan JKKK, ketua-ketua adat, dan pemimpin-pemimpin setempat seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Haul Ke-31 Tahun Allahyarham Tun Mustapha Harun di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Hadir sama Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasneh.
Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, beliau akan turun melawat kawasan terlibat pada Sabtu bagi meninjau keadaan secara langsung.
Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan yang sering terjejas banjir, termasuk Kampung Baitam, Jambatan Baru, Lempijas dan sekitarnya, agar sentiasa bersedia dan berhubung dengan jawatankuasa tempatan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
Selain itu, pusat pemindahan sementara turut disediakan di Membakut termasuk Beaufort bagi menampung penduduk yang terjejas.
“Semua kawasan yang biasanya terlibat dengan banjir perlu bersedia dan berhubung dengan jawatankuasa kita. Kita juga sedia dengan pusat pemindahan sementara di Membakut dan mungkin di sebelah Beaufort,” katanya.
Sementara itu, Isnin yang juga ADUN Klias turut meminta dan menasihati penduduk terjejas agar sentiasa berwaspada.
“Setiap tahun Beaufort akan banjir. Kali ini awal tahun yang pertama. Tahun lepas, 20 kali banjir. Jadi saya nasihatkan kepada semua rakyat di Beaufort, pertamanya, waspada. Keduanya, kalau dapat arahan pindah, pindahlah.
“Jangan tunggu. Sebab keadaan saya tengok besar sangat. Keadaan tidak menentu. Jadi saya minta kepada rakyat, setiap saat dengar arahan,” katanya. – SABAH MEDIA



