HomeUtamaKerjasama MAFFI–KPTM perkasa pembangunan pertanian Sabah

Kerjasama MAFFI–KPTM perkasa pembangunan pertanian Sabah

Read Time:1 Minute, 47 Second

PUTRAJAYA: Kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) terus diperkukuh bagi memperkasa pembangunan sektor pertanian dan perikanan di negeri itu.

Perkara itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat serta sesi perbincangan delegasi MAFFI yang diketuai Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di sini, semalam.

Jamawi berkata, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian pengeluaran makanan negeri, khususnya melibatkan pembangunan padi dan beras, tanaman jagung, ternakan ruminan serta penambahbaikan infrastruktur sokongan sektor pertanian.

“Hari ini saya dan rombongan MAFFI mengadakan perbincangan bersama Datuk Seri Mohamad Sabu bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi memastikan agenda keterjaminan makanan Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, antara agenda utama ialah memperkasakan pembangunan padi dan beras melalui peranan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai teras peningkatan tahap sara diri (SSL) beras negeri.

Selain itu, pembangunan tanaman jagung untuk makanan ternakan turut diberi penekanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah dari luar negara.

Jamawi berkata, penubuhan pusat pengumpulan hasil pertanian di beberapa daerah juga dibincangkan bagi memudahkan pemasaran, logistik serta pengurusan rantaian bekalan hasil tani tempatan.

Katanya, pembinaan jeti baharu untuk kemudahan nelayan di Sandakan dan Semporna turut menjadi fokus bagi meningkatkan kebajikan serta kecekapan operasi komuniti nelayan di pantai timur Sabah.

“Sektor ternakan ruminan turut dirancang untuk diperkasakan melalui sokongan teknikal, pemodenan kaedah penternakan dan penyediaan kemudahan sokongan yang lebih tersusun,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan jalan-jalan pertanian di seluruh Sabah juga diketengahkan bagi meningkatkan akses ke kawasan ladang dan perkampungan tani sekali gus mengurangkan kos operasi pengusaha.

Dalam kunjungan itu, Jamawi diiringi Pembantu Menteri I, Datuk Ruslan Muharam, Pembantu Menteri II, Datuk Hendrus Anding, Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong serta beberapa pegawai kanan kementerian.

Jamawi turut merakamkan penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan oleh KPTM, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian serta Timbalan Menteri, Datuk Chan Foong Hin dalam menyokong agenda pembangunan pertanian Sabah.

Menurutnya, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan merupakan kunci utama bagi memastikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah terus berdaya saing, mampan serta mampu menjamin keselamatan makanan jangka panjang negeri itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan percepat pelaksanaan MA63, 16 perkara masih tertunggak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular