KOTA KINABALU: Kekurangan kakitangan serta kemudahan rawatan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang di Klinik Mata, Hospital Queen Elizabeth (HQE) I.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) William Gotulis berkata, Klinik Mata hospital berkenaan ketika ini berdepan kekangan tenaga kerja yang memberi kesan kepada kelancaran penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam mengendalikan jumlah pesakit yang tinggi setiap hari.
Beliau berkata, HQE merupakan hospital rujukan utama di Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan sebahagian kawasan Sarawak, sekali gus menyebabkan klinik mata menerima jumlah pesakit yang sentiasa meningkat.
“Pada 6 Januari lalu, seramai 245 pesakit hadir seawal jam 7.30 pagi dan jumlah itu boleh meningkat sehingga 350 orang pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
William berkata, kapasiti fizikal klinik adalah terhad apabila ruang menunggu hanya menyediakan 95 buah kerusi, selain bilangan bilik pemeriksaan serta peralatan rawatan mata yang terhad dan perlu digunakan secara bergilir.
Katanya, keadaan itu secara langsung menyumbang kepada tempoh menunggu yang lebih lama, terutama pada hari-hari puncak dengan kehadiran pesakit yang tinggi.
“Sehubungan itu, pihak hospital bersama JKNS sedang mengambil beberapa langkah penambahbaikan termasuk menyusun semula penugasan dan perancangan tenaga kerja, selain menambah baik pengurusan aliran pesakit bagi mengurangkan kesesakan.
” Dalam jangka panjang, JKNS turut merancang penempatan Jabatan Oftalmologi di bangunan baharu HQE yang lebih luas dan berkapasiti tinggi bagi memenuhi keperluan pesakit pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya lagi, pihaknya turut memberi komitmen untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kekal selamat, berkualiti dan berterusan demi kesejahteraan rakyat. – SABAH MEDIA



