KOTA KINABALU : Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Putatan sebagai Pengerusi SOGDC bertaraf Menteri.
SOGDC dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diyakini mampu memperkukuh hala tuju strategik syarikat milik negeri itu.
Pelantikan itu disusuli dengan lawatan rasmi serta sesi taklimat ke ibu pejabat SOGDC yang disambut Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Datuk Ramli bersama barisan pengurusan tertinggi.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen awal Shahelmey dalam memahami peranan dan tanggungjawab menerajui organisasi.
Dalam sesi taklimat itu, Shahelmey menegaskan kepentingan tadbir urus yang kukuh, pemantauan prestasi korporat yang berkesan serta pengurusan bersepadu melibatkan SOGDC dan anak-anak syarikatnya.
Beliau turut menyatakan hasrat memperkukuh strategi pelaburan dengan memberi tumpuan kepada peluang strategik yang mampan, di samping memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan teratur dan menepati objektif ditetapkan.
Pihak pengurusan dan seluruh warga kerja SOGDC menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama secara profesional serta menyokong kepimpinan baharu dalam melaksanakan agenda korporat dan dasar strategik syarikat.
Usaha berterusan juga akan diperkasa bagi mengekalkan budaya kerja berintegriti, harmoni dan berorientasikan prestasi.
SOGDC yakin kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan syarikat sebagai entiti strategik negeri, seterusnya menyumbang secara berterusan kepada pembangunan sosioekonomi Sabah melalui pendekatan yang mampan dan berimpak tinggi.



