HomeUtamaGLC Sabah digesa perkukuh tadbir urus, tingkat prestasi sumbang kepada ekonomi negeri

GLC Sabah digesa perkukuh tadbir urus, tingkat prestasi sumbang kepada ekonomi negeri

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah digesa supaya terus memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan prestasi organisasi bagi memastikan sumbangan yang lebih berkesan kepada pembangunan ekonomi negeri.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dam Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, penambahbaikan tadbir urus amat penting bagi memastikan setiap GLC beroperasi secara telus, berintegriti dan berorientasikan hasil, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Sabah.

James Ratib – Foto Sabah Media / Alexter Rosalia

Katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini telah meminta laporan dari setiap GLC setiap tiga bulan untuk dipantau bagi memastikan ia mampu menjana keuntungan yang dapat disumbangkan semula kepada kerajaan negeri.

“Laporan berkala ini penting bagi memastikan setiap GLC dipantau dengan berkesan serta mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Jadi kita mahu GLC di Sabah ini dapat dimantapkan supaya kita banyak hasil yang dapat disumbangkan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Transformasi GLC Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Konvensyen itu yang dianjurkan kementeriannya dengan kerjasama HRD Corp dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pegawai pengurusan yang mewakili 74 GLC Sabah.

James berkata, penganjuran konvensyen itu turut berperanan sebagai platform peringatan dan penilaian kepada semua GLC agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta pemegang taruh.

James (tiga kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penceramah pada konvensyen itu – Foto Sabah Media / Alexter Rosalia

Selain itu, beliau menggalakkan GLC di Sabah untuk memanfaatkan sepenuhnya latihan dan kursus yang ditawarkan oleh HRD Corp bagi meningkatkan keupayaan sumber manusia dan kecekapan operasi organisasi.

“Kolaborasi ini pertama kali dilaksanakan dan ia membabitkan kerjasama dengan sebuah agensi persekutuan untuk memberi kursus kepada GLC di Sabah.

“Menerusi program ini, saya berharap ia dapat memberi satu pengalaman atau pengetahuan baharu akepada semua kakitangan GLC di Sabah ini.

“Kalau boleh kita mahu konvensyen seperti ini diadakan dengan lebih kerap demi memantapkan lagi perkhidmatan kakitangan semua GLC di Sabah,” katanya.

Katanya, kerjasama dengan HRD Corp penting bagi memberi pendedahan kepada kakitangan GLC di Sabah mengenai tugas mereka dalam memantapkan kedudukan syarikat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Persekutuan diminta perhalusi pengagihan hasil petroleum Sabah – Riduan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular