Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Pemantauan berterusan dan tindakan pantas dalam memastikan kemudahan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) perlu sentiasa dilaksanakan dan berada pada tahap memuaskan khususnya melibatkan tandas awam.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, isu kebersihan yang sering disuarakan pengguna perlu diambil perhatian dan sentiasa dinilai selain memerlukan sistem pemantauan yang konsisten.
Katanya, ia termasuklah penugasan petugas khusus di setiap tandas bagi memastikan tindakan segera dapat diambil apabila berlaku sebarang masalah.

“Kita tidak mahu wujud persepsi seolah-olah kemudahan ini dibiarkan tanpa kawalan.
“Pemantauan yang berterusan amat penting supaya kebersihan sentiasa terjaga, bukan hanya ketika pemeriksaan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan bersama pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pihak pengurusan KKIA di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengurus Kanan KKIA Jefry Ramli, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Robert Lipon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pesekitaran Bandaraya Syron A. Tunggolou.
Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, aduan yang diterima antaranya melibatkan lantai basah, gangguan bekalan air serta keadaan tandas yang kurang memuaskan pada waktu tertentu.
Bagaimanapun , beliau berkata, langkah pembaikan telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB)
“KKIA sebagai pintu masuk utama ke Sabah perlu mencerminkan imej positif negeri ini, bukan sahaja dari aspek kebersihan tandas, malah melibatkan kemudahan lain seperti pencahayaan, tempat letak kereta, kemudahan tempat duduk dan pengurusan kesesakan penumpang,” katanya.
Sementara itu, Joniston berkata, usaha meningkatkan tahap kemudahan di KKIA memerlukan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Malaysia Airports Holdings Berhad, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam serta pihak berkuasa tempatan.
“Lawatan ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk melihat sejauh mana tindakan telah diambil dan apa lagi penambahbaikan yang boleh dilakukan demi keselesaan pengguna,” katanya. – SABAH MEDIA



