HomeUtamaKerjasama agensi Kerajaan, swasta pacu sektor pelancongan Sabah

Kerjasama agensi Kerajaan, swasta pacu sektor pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Kerjasama erat antara agensi Kerajaan dan sektor swasta di Sabah penting dalam membantu memacu sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, sektor swasta memainkan peranan penting dalam menjadikan pelancongan salah satu tunjang utama dalam pelan pembangunan negeri Sabah.

Jafry (tiga kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada majlis itu. Foto Sabah Media / Alexter Rosalia

Beliau berkata, kesinambungan usaha itu harus diteruskan bagi menggerakkan industri dan ekonomi negeri.

“Kita melihat ramai pemain industri yang berdedikasi dalam sektor pelancongan. Justeru, persaingan yang wujud seharusnya dilihat sebagai peluang untuk saling melengkapi antara satu sama lain, sekaligus menyokong agenda Kerajaan Negeri.

“Maka dengan itu, Sabah Tourism Awards bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, tetapi platform yang menonjolkan kepimpinan, kualiti perkhidmatan, kelestarian, inovasi, dan impak komuniti dalam ekosistem pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Pelancongan Sabah di sini pada Jumaat.

Penerima anugerah pelancongan bergambar kenangan pada majlis itu pada Jumaat – Foto Sabah Media / Alexter Rosalia

Hadir sama Pembantu kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai dan embantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri Sabah Dr Andi MD Shamsureezal Mohd Sainal.

Jafry berkata, melalui pengiktirafan itu, amalan terbaik industri diketengahkan dan dijadikan penanda aras bagi membentuk hala tuju pelancongan negeri pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah Sabah Tourism Awards tahun ini.

“Semoga kejayaan ini diteruskan, terutamanya dalam kerjasama yang berterusan dengan Kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, Sabah telah merekodkan kedatangan pelancong seramai 3.79 juta orang pada tahun lalu, melebihi sasaran awal 3.5 juta pelawat, dengan resit pelancongan berjumlah RM8.74 bilion.

Beliau berkata, ia merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan dan membuktikan hasil usaha bersepadu serta komitmen semua pemain industri pelancongan di negeri ini.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan kedatangan empat juta pelawat, dan untuk mencapai sasaran tersebut, kita perlu melipatgandakan usaha, memperkukuh kerjasama, serta memikul tanggungjawab ini secara bersama demi memastikan pertumbuhan industri pelancongan Sabah terus mampan dan berdaya saing,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Delegasi Sabah ke Beijing perkukuh potensi kerjasama sektor air

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular