HomeUtamaDelegasi Sabah ke Beijing perkukuh potensi kerjasama sektor air

Delegasi Sabah ke Beijing perkukuh potensi kerjasama sektor air

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Lawatan kerja delegasi Persatuan Plumber Sabah ke Beijing, Republik Rakyat China, baru-baru ini dilihat mampu memperkukuh pemahaman serta membuka potensi kerjasama dalam sektor air antara Sabah dan pihak berkaitan di China.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menerima taklimat rasmi hasil lawatan tersebut, yang memberi gambaran mengenai amalan terbaik, teknologi, serta pendekatan pengurusan sektor air yang boleh dijadikan rujukan oleh Sabah.

Presiden Persatuan Plumber Sabah, Carmen Wong, berkata lawatan itu merangkumi siri libat urus profesional bersama Beijing Municipal Water Authority dan Beijing Waterworks Group, dengan fokus kepada urus tadbir air, sistem bekalan air, rawatan sisa air serta pendekatan pengurusan utiliti yang dilaksanakan di China.

“Lawatan kerja berkenaan bertujuan memperkukuh pemahaman serta potensi kerjasama dalam sektor air antara Sabah dan pihak berkaitan di China.

“Perkongsian itu turut memberi gambaran menyeluruh mengenai amalan terbaik, penggunaan teknologi serta model pengurusan yang boleh dijadikan rujukan bagi pembangunan sektor air di Sabah,” katanya.

Selain itu, lawatan berkenaan juga bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak berkuasa dan perusahaan berkaitan sektor air dari China untuk menyertai Forum dan Pameran Air yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 April ini di Sabah.

Perbincangan awal turut merangkumi cadangan topik forum, pameran teknologi serta bentuk penyertaan pameran oleh pihak antarabangsa.

Delegasi turut mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil perniagaan dari pelbagai wilayah di China di Ningxia Mansion, Beijing, yang merangkumi aspek pembangunan industri, keupayaan pembuatan, serta peluang kerjasama dalam bidang berkaitan infrastruktur dan teknologi air.

Sebagai simbol hubungan baik, delegasi menerima sebuah cenderahati daripada Beijing Waterworks Group, yang mencerminkan hasil positif daripada sesi bertukar pandangan sepanjang lawatan.

“Secara keseluruhannya, taklimat hasil lawatan ini menyediakan rujukan penting dalam memahami perkembangan terkini, teknologi serta model kerjasama dalam sektor air di China,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim yang juga merupakan Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, turut menyokong usaha berterusan untuk meneroka kerjasama yang praktikal dan konstruktif dalam bidang infrastruktur air, utiliti awam serta pertukaran kepakaran profesional, selaras dengan keperluan pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Institusi kewangan digesa permudah pembiayaan perumahan rakyat Sabah – Fairuz

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular