HomeUtamaDua Projek Pan Borneo Di Sabah Lewat Dari Jadual – Menteri JKR

Dua Projek Pan Borneo Di Sabah Lewat Dari Jadual – Menteri JKR

Read Time:2 Minute, 9 Second

KUALA LUMPUR, Dua pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dilaporkan mengalami kelewatan berbanding jadual asal berikutan beberapa faktor dan kekangan teknikal, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pakej kerja WP01 dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5 kilometer (km) kini mencatatkan kemajuan fizikal 87.79 peratus berbanding jadual 97.64 peratus, iaitu kelewatan sebanyak 9.85 peratus.

“Bagi pakej kerja WP02 dari Melalia ke Beaufort sepanjang 34.7 km pula, kemajuan fizikal semasa ialah 62.31 peratus berbanding jadual 77.87 peratus, iaitu kelewatan sebanyak 15.56 peratus,” katanya ketika menggulung Titah Diraja bagi Kementeriannya di Parlimen Hari ini.

Menurut beliau, status kemajuan semasa bagi kedua-dua pakej tersebut menunjukkan kelewatan berbanding jadual asal disebabkan beberapa faktor serta kekangan teknikal di peringkat tapak.

Nanta berkata bagi memastikan projek kembali mengikut landasan, Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengambil pelbagai tindakan tegas melalui langkah-langkah intervensi.

“Saya sendiri selaku Menteri Kerja Raya sentiasa memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan projek ini. Komitmen itu dizahirkan menerusi beberapa siri lawatan ke tapak projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang tahun 2024 dan 2025, termasuk lawatan terbaru pada 12 Disember 2025.

“Dalam lawatan tersebut, saya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bagi meninjau kemajuan kerja serta mengenal pasti isu teknikal di peringkat tapak,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta turut merayu kepada kerajaan negeri Sabah supaya mengambil langkah meningkatkan kapasiti Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah serta JKR Sabah bagi menjamin kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya turut meninjau kemajuan kedua-dua pakej tersebut pada 28 Jan lepas bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah serta pengurusan tertinggi kementerian dan JKR Sabah.

“Satu sesi perbincangan bersama kontraktor telah diadakan bagi mengenal pasti isu sebenar yang menyumbang kepada kelewatan serta mencari penyelesaian supaya projek infrastruktur ini dapat disiapkan demi kesejahteraan dan mobiliti rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan juga kerap turun padang ke Sabah untuk memantau projek Pan Borneo serta projek persekutuan lain seperti pembinaan sekolah dan kemudahan kesihatan.

“Hasil dapatan daripada lawatan tapak, tindakan segera akan diambil bagi menyelesaikan isu-isu yang menyumbang kepada kelewatan kedua-dua pakej ini.

“Semua pihak terlibat telah memberikan komitmen bagi memastikan permasalahan dapat diselesaikan supaya jajaran berkenaan kembali mengikut jadual pemulihan yang dipersetujui,” katanya.

Nanta menegaskan kementerian kekal komited memastikan projek berimpak tinggi itu siap mengikut jadual melalui pemantauan rapi, termasuk mesyuarat jawatankuasa pemandu bulanan bersama JKR Sabah.

“Sebagai projek berimpak tinggi, kejayaannya adalah keutamaan kementerian demi memacu lonjakan sosioekonomi rakyat Sabah, selaras aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.

RELATED ARTICLES
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda
Utama

Kota Kinabalu catat 1,347 kes jenayah komersil  bagi tempoh Jan -Dis...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular