Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan menegaskan pendirian kerajaan bahawa semua rumah ibadat, termasuk masjid, gereja dan kuil, mesti dibina mengikut peraturan serta kelulusan sah.
Katanya, kerajaan mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa sama menjamin hak penganut agama lain.
“Namun pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran tanah atau kelulusan tidak boleh diterima dan perlu diselesaikan mengikut jalur undang-undang,” Katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Kompleks F, di sini hari ini
Beliau menjelaskan, Batu Caves merupakan tapak sah dan cadangan pembinaan kemudahan seperti eskalator boleh dipertimbangkan kerana tidak melanggar peraturan atau hak pihak lain.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut memberi amaran terhadap sikap melampau daripada mana-mana pihak sama ada yang mahu merobohkan rumah ibadat secara sendiri atau mempertahankan pelanggaran undang-undang atas nama agama.
Tegas Anwar lagi, perpaduan nasional merupakan prasyarat utama kepada kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, sambil mengingatkan semua pihak agar menghormati perbezaan agama, budaya dan latar belakang masyarakat Malaysia.
Katanya, pertumbuhan ekonomi dan kekayaan negara tidak menjamin kebahagiaan sekiranya perseteruan kaum dan agama terus berlaku.
Menyentuh isu penternakan babi, Anwar berkata kerajaan tidak menentang kegiatan tersebut atau hak masyarakat bukan Islam, namun lokasi penternakan tidak wajar ditempatkan di kawasan yang menimbulkan masalah kesihatan, kebersihan dan kegelisahan penduduk setempat.
Beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik dan perpaduan sosial penting bagi memacu pembangunan ekonomi serta memastikan bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dapat diteruskan.
Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Perpaduan Negara menjadi contoh terbaik dalam memupuk semangat hormat, ihsan dan kesatuan nasional demi mempertahankan keamanan serta kesejahteraan Malaysia.



