HomeUtamaSipitang diisytihar kawasan bencana banjir

Sipitang diisytihar kawasan bencana banjir

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Daerah Sipitang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Abd Karim A. M Zahari berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 12 tengah hari tadi.

“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Sipitang,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, seramai 12 mangsa banjir di daerah ini telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi susulan keadaan air yang semakin meningkat di beberapa kawasan.

Seorang mangsa dari Kampung Kawang Baru telah dipindahkan ke PPS, manakala 11 lagi mangsa dari Kampung Skim Sindumin ditempatkan di PPS Dewan Brempah.

Balai Polis Sipitang turut menggerakkan bot serta anggota ke lokasi terjejas bagi menjalankan pemantauan dan membantu proses pemindahan mangsa banjir.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sipitang, paras air Sungai Mengalong di Stesen Kampung Paru Siku direkodkan pada tahap bahaya dengan bacaan 12.018 meter setakat jam 9 pagi tadi dan dijangka terus meningkat.

Paras air Sungai Lukutan di Stesen Kampung Melalia pula berada pada tahap waspada dengan bacaan 10.381 meter pada waktu yang sama.

Orang ramai turut dimaklumkan bahawa fenomena air pasang dijangka berlaku antara jam 2 petang hingga 5 petang, yang berpotensi mempengaruhi paras air semasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sipitang akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa. – SABAH MEDIA / FOTO POLIS SIPITANG

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama strategik Hospital Keningau–PDRM, perkukuh pengurusan kes libat kepentingan awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular