HomeUtamaLampoopalooza 2026 terangi Jalan Gaya, Sabah sedia sambut Visit Sabah 2027

Lampoopalooza 2026 terangi Jalan Gaya, Sabah sedia sambut Visit Sabah 2027

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Festival cahaya tahunan, Lampoopalooza 2026 kembali memeriahkan Jalan Gaya malam tadi dengan limpahan kreativiti, seni visual dan pancaran lampu yang memukau, sekali gus menghidupkan suasana pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Program anjuran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) itu telah memasuki tahun keempat penganjuran dan dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Jafry berkata, penganjuran Lampoopalooza bukan sahaja meraikan kreativiti seni pencahayaan, malah menjadi platform tahunan untuk mengaktifkan ruang bandar dengan pengalaman urban yang segar dan menarik.

“Saya berasa bangga dapat merasmikan program ini. Kita dapat melihat bagaimana persembahan lampu 3D dimainkan khusus untuk warga Kota Kinabalu, dengan pencahayaan yang kreatif terutama di bangunan ikonik pejabat STB.

“Program seperti ini melengkapi tarikan alam semula jadi dan kebudayaan Sabah dengan pengalaman bandar yang kontemporari dan interaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Sepanjang malam, orang ramai disajikan dengan persembahan ‘projection mapping’ yang dipancarkan ke bangunan bersejarah STB dan bangunan sekitarnya, menampilkan visual dinamik yang menggambarkan keunikan Sabah sebagai negeri kaya dengan khazanah alam semula jadi, lautan dan gunung-ganang.

Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Isobahtos, Eylia Guntabid, Ryenald Guntabid, Masmona serta DJ Tony Starr yang menambah kemeriahan suasana.

Menurut Jafry, penganjuran tahun ini selari dengan persediaan Sabah menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 serta inisiatif menuju Visit Sabah 2027.

“Kita mahu program seperti Lampoopalooza terus berkembang, menjadi lebih besar, lebih cerah dan lebih berimpak pada tahun hadapan.

“Sabah mempunyai daya tarikan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, termasuk keunikan dasar laut yang menjadi tumpuan pelancong, selain kepelbagaian budaya dan etnik yang kaya.

“Semua ini merupakan kekuatan utama untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini,” katanya.

Beliau turut menggalakkan rakyat Sabah agar berbangga dengan acara tempatan dan berkongsi pengalaman mereka bagi membantu mempromosikan keindahan serta kreativiti negeri ini kepada pelawat dari dalam dan luar negara.

Lampoopalooza juga merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) STB, dengan penglibatan artis tempatan yang menggunakan bahan lestari bagi menghasilkan dekorasi dan instalasi seni festival, sebelum disumbangkan semula kepada komuniti untuk kegunaan seterusnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ops Pantau Ramadan bermula 19 Februari hingga 20 Mac

Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular