Oleh Wan Azrain Adnan
Ringkasan 5 point utama AI
1️⃣ Ekonomi Malaysia berkembang kukuh pada 2025
KDNK meningkat 5.2% dengan pertumbuhan suku tahunan tertinggi 6.3%, mengatasi beberapa unjuran firma penyelidikan.
2️⃣ Sektor pembinaan dan perkhidmatan menjadi pemacu utama
Pembinaan mencatat pertumbuhan dua digit, manakala perkhidmatan kekal stabil sebagai penyumbang terbesar ekonomi.
3️⃣ Pewujudan pekerjaan meningkat tetapi tertumpu kepada separuh mahir
Sebahagian besar jawatan baharu datang daripada kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah, bukan pekerjaan mahir.
4️⃣ Risiko underemployment graduan semakin ketara
Lebih 35% tenaga kerja pendidikan tertiari berada dalam pekerjaan tidak setimpal dengan kemahiran mereka.
5️⃣ Dilema struktur ekonomi negara
Walaupun ekonomi berkembang, model pertumbuhan masih bernilai rendah dan belum menjana pekerjaan mahir mencukupi.
Prestasi Ekonomi Negara 2025
Malaysia menutup tirai tahun 2025 dengan merekodkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Selari dengan itu, guna tenaga negara turut merekodkan prestasi memberangsangkan, tetapi membimbangkan.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan pada minggu lepas, bagi Suku Tahun Ke-4 2025, Malaysia telah merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahap 6.3%, dengan nilai RM 457.7 bilion. Ini merupakan pertumbuhan Suku Tahunan tertinggi sepanjang tahun 2025.
Malah, pertumbuhan 6.3% tersebut merupakan pertumbuhan Suku Tahunan tertinggi sepanjang tempoh masa 3 tahun (2023 – 2025).
Secara keseluruhan, bagi tahun 2025, negara telah merekodkan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada tahap 5.2%, dengan nilai RM 1.735 trilion. Pencapaian ini berada di dalam julat unjuran 4.5 – 5.5% oleh kerajaan di bawah Belanjawan Malaysia 2025.
Membanggakan, pertumbuhan kukuh 5.2% ini mengatasi unjuran oleh firma-firma penyelidikan, antaranya: Maybank Investment Bank (4.9%), Hong Leong Investment Bank (4.9%).
Sebagai perbandingan, pertumbuhan KDNK pada tahun 2025 bagi beberapa negara ASEAN ialah: Vietnam (8.0%), Indonesia (5.1%), Singapura (5.0%), Filipina (4.4%).

Prestasi Mengikut Sektor Ekonomi
Di kalangan sektor ekonomi negara, sektor Pembinaan telah merekodkan pertumbuhan besar dua digit 11.0% bagi Suku Tahun Ke-4 2025. Bagi keseluruhan tahun 2025, sektor Pembinaan berkembang 12.2%.
Sektor Perkhidmatan turut merekodkan pertumbuhan kukuh 6.3% bagi Suku Tahun Ke-4 2025, dan 5.5% bagi keseluruhan tahun 2025.
Sektor Pertanian pula telah merekodkan lonjakan besar 5.4% bagi Suku Tahun Ke-4 2025, berbanding 0.1% bagi Suku Tahun Ke-3 2025. Lonjakan ini didorong oleh subsektor kelapa sawit yang telah meningkat 16.2%.
Bagi keseluruhan tahun 2025, sektor Pertanian telah berkembang 2.2%.
Trend Guna Tenaga dan Pewujudan Jawatan
Sementara itu, Laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Ke-4 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada minggu lepas, guna tenaga negara turut merekodkan prestasi yang memberangsangkan.
Bagi Suku Tahun Ke-4 2025, bilangan jawatan telah meningkat 1.8%, dengan pertambahan jawatan sebanyak 160 ribu kepada 9.214 juta, berbanding 9.054 juta (Suku Tahun Ke-4 2024).
Pada masa sama, kadar pengisian jawatan juga kukuh pada tahap 97.8%, dan kadar kekosongan rendah pada tahap 2.2% (198 ribu) sahaja.
Secara keseluruhan tahun 2025, jumlah pewujudan jawatan ialah 129.6 ribu. Malah, sepanjang tahun 2021 – 2025, jumlah pewujudan jawatan telah melonjak besar, daripada 69.5 ribu kepada 129.6 ribu.
Lonjakan besar ini jelas menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh, dan dapat menyediakan banyak pekerjaan kepada rakyat.
Daripada jumlah pewujudan jawatan sebanyak 129.6 ribu tersebut, sebahagian besar adalah di dalam sektor Perkhidmatan (61.9 ribu), disusuli oleh Pembuatan (48.4 ribu), Pembinaan (13.3 ribu), Pertanian (5.3 ribu) dan Perlombongan & Pengkuarian (0.8 ribu).
Menariknya, walaupun sektor Pembinaan merekodkan pertumbuhan tertinggi pada tahun 2025 sebanyak 12.2%, ia hanya mewujudkan 13.3 ribu jawatan baru.
Kualiti Pekerjaan dan Cabaran Struktur Pasaran Buruh
Namun begitu, walaupun jumlah pewujudan pekerjaan telah melonjak tinggi, majoriti pekerjaan baru pada tahun 2025 adalah Separuh Mahir (82.9 ribu) dan Berkemahiran Rendah (13.7 ribu), berbanding Mahir (33.1 ribu).
Membimbangkan, pewujudan jawatan Separuh Mahir kekal dengan trend meningkat, dan Mahir pula trend menurun.
Sekiranya trend pewujudan jawatan kekal sebegini, semakin sukar bagi graduan pendidikan tertiari untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dan setimpal dengan kelayakan serta kemahiran yang dimiliki. Untuk sekian lama, Kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran atau underemployment berada di tahap tinggi melebihi 35%.
Ini bermakna, bagi setiap 3 graduan, 1 graduan terperangkap di dalam underemployment, dengan melakukan pekerjaan Separuh Mahir dan Berkemahiran Rendah, serta memperolehi pendapatan yang rendah.
Pada masa sama, data DOSM menunjukkan nisbah kekosongan kepada penganggur telah meningkat secara konsisten. Ini menggambarkan pasaran buruh negara semakin sengit, di mana jumlah pencari kerja melebihi kekosongan jawatan.

Kesimpulan Editorial
Inilah dilema negara masa kini. Walaupun merekodkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, tetapi tidak dapat menjana pekerjaan Mahir yang mencukupi bagi graduan negara. Pertumbuhan ekonomi masih tertumpu kepada pelaburan dan aktiviti ekonomi bernilai rendah, yang lebih memerlukan pekerja Separuh Mahir dan Berkemahiran Rendah.



