KOTA KINABALU: Pengendali baharu Sabah FC, Juan Torres Garrido, tidak sabar untuk memulakan cabaran pertamanya bersama skuad Sang Badak apabila turun beraksi menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) Sabtu ini.
Walaupun hanya mempunyai tempoh persiapan yang singkat, pengendali dari Sepanyol itu tetap optimis dalam usaha membentuk identiti permainan pasukan.
“Fokus saya sekarang adalah mengenali pemain dengan lebih dekat dan memastikan mereka memahami idea serta falsafah yang mahu diterapkan.
“Penting untuk semua bergerak dalam hala tuju yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan perancangan taktikal yang bakal diterapkan, sebaliknya mahu aksi di atas padang menjadi bukti pendekatan sebenar beliau.
Mengulas pertemuan menentang Negeri Sembilan FC, Garrido menyifatkan lawan sebagai pasukan mantap dengan kombinasi pemain tempatan dan import yang berpengalaman.
“Mereka memiliki struktur yang baik dan sedang berada dalam momentum positif. Saya jangka perlawanan yang sengit,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru penyokong setia Sang Badak untuk membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu.
“Kehadiran penyokong amat penting untuk menaikkan semangat pemain. Kami mahu mulakan fasa ini dengan langkah kanan,” katanya.



