HomeUtamaTempoh rundingan 40% hasil Sabah berbaki lebih 40 hari, SLS gesa libat...

Tempoh rundingan 40% hasil Sabah berbaki lebih 40 hari, SLS gesa libat urus bermakna diperkasa

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Lebih 40 hari lagi berbaki dalam tempoh rundingan 180 hari yang ditetapkan mahkamah berhubung pelaksanaan hak Sabah menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan, menurut Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Dialog Awam anjuran SLS yang berlangsung di Bilik Persidangan SLS, Menara MAA, di sini, bagi memberikan maklumat terkini berasaskan fakta susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang disampaikan pada Oktober 2025.

Menurutnya, keputusan mahkamah berkenaan menetapkan dua fasa utama iaitu tempoh semakan awal selama 90 hari, diikuti tempoh rundingan selama 180 hari bagi membolehkan pihak-pihak berkaitan memuktamadkan mekanisma pelaksanaan serta kaedah pengiraan yang dipersetujui.

“Dalam sesi ini, peserta dimaklumkan mengenai garis masa yang telah ditetapkan mahkamah, termasuk keperluan mematuhi setiap tempoh yang diperuntukkan. Penglibatan bermakna semua pihak amat penting bagi memastikan proses ini berjalan selaras dengan semangat perintah mahkamah,” katanya.

Dialog awam itu terbuka kepada orang ramai dan menjadi platform untuk penjelasan, perbincangan berfakta serta pertukaran pandangan secara berhemah mengenai isu yang mempunyai implikasi perlembagaan besar kepada Sabah dan rakyatnya.

Antara panel yang terlibat ialah Mohamed Nazim sendiri bersama Naib Presiden Ryan Soo; Dr. David Fung Yin Kee; Jeyan T.M. Marimuttu; Janice Junie Lim; serta bekas Presiden SLS, Datuk Roger Chin yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik.

Turut hadir ialah mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat, dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau.

Pada akhir sesi, para peserta secara umumnya bersetuju bahawa pemahaman awam terhadap hak fiskal Sabah perlu terus diperkukuh, khususnya berkaitan kerangka perundangan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan.

SLS turut menegaskan bahawa dialog berterusan dan pendekatan berasaskan undang-undang adalah kunci bagi memastikan hak perlembagaan Sabah dilaksanakan secara telus, tersusun dan berlandaskan prinsip federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

SLS to launch public legal education on state’s constitutional rights

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular