HomeUtamaLebih 30,000 meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan di Papar

Lebih 30,000 meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan di Papar

Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Erdie Ab Wahid
Foto Alexter Rosalia

PAPAR : Lebih 30,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Masyarakat Papar di sini pada Jumaat.

Majlis yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menjadi titik permulaan kepada sambutan Pesta Kaamatan di seluruh Sabah termasuk di beberapa lokasi di Semenanjung dan Sarawak.

Joachim Gunsalam

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, beliau bersyukur dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat yang hadir pada majlis pelancaran tersebut.

“Saya amat bersyukur kerana kehadiran hari ini begitu ramai. Tahniah saya ucapkan kepada Pegawai Daerah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuantim selaku pengerusi pelaksana yang telah menjayakan majlis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah.

Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Kaamatan peringkat negeri berkata, kemuncak sambutan akan diadakan pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA) di Penampang, dengan pelbagai acara kebudayaan disusun sepanjang bulan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata tema Kaamatan tahun ini ialah “Kaamatan Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, yang mencerminkan semangat sebenar perayaan tersebut.

“Kita mahu Kaamatan menjadi wadah untuk seluruh masyarakat di Sabah bersatu padu dan hidup harmoni, walaupun berbeza dari segi etnik dan kepercayaan.

“Inilah nilai yang kita ingin semai bukan sahaja sepanjang bulan Kaamatan, tetapi sepanjang masa,” katanya lagi.

Beliau turut berharap sambutan tahun ini akan terus memperkukuh perpaduan rakyat serta memelihara keharmonian negeri Sabah yang berbilang kaum dan budaya.-SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Peningkatan keterjaminan makanan dan SSR keutamaan Kerajaan Negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular