HomeUtamaMPS kecam tindakan penjual rokok haram terhadap penguat kuasa

MPS kecam tindakan penjual rokok haram terhadap penguat kuasa

Read Time:1 Minute, 30 Second

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengecam keras tindakan sekumpulan individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan rokok haram kerana menyerang anggota penguat kuasanya di Batu 8, di sini, pada Jumaat.

Presiden MPS, Walter Kenson, menegaskan tindakan tersebut tidak boleh diterima sama sekali kerana anggota penguat kuasa hanya menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menegaskan MPS akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Beliau turut menegaskan bahawa penjualan rokok haram merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan MPS akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak polis serta agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan tersebut di daerah ini.

“MPS komited untuk memastikan Sandakan kekal sebagai bandar yang aman dan sejahtera,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam usaha mengekang kegiatan haram.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata pihaknya telah memulakan siasatan sejurus menerima laporan daripada mangsa dan beberapa individu dipercayai terbabit dalam kejadian itu telah dikenal pasti.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi kira-kira seminit tular di media sosial yang memaparkan mangsa dipukul beramai-ramai sehingga ke kawasan tempat letak kenderaan pasar.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, di Batu 8, Sibuga Jaya, mangsa bersama rakan sekerjanya dilaporkan menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan sebelum menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar berkenaan.

Teguran tersebut dipercayai mencetuskan perselisihan faham yang membawa kepada pertengkaran mulut sebelum mangsa didakwa diserang oleh beberapa lelaki tidak dikenali.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua ditahan guna bom ikan di perairan Kunak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular