KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) melalui inisiatif Disaster Monitoring Hub (D-Hub) menggerakkan misi bantuan kemanusiaan bagi membantu komuniti yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah di Sabah termasuk Paitan, Pitas, Sook, Beaufort, Membakut, Sipitang dan Tenom.

Setakat ini, sebanyak 20,440 pek makanan sedia dimakan bersama air minuman berjaya diagihkan kepada mangsa banjir melalui penyelarasan pasukan di lapangan serta kerjasama rakan strategik.

Bagi fasa terkini, bantuan disalurkan ke empat daerah iaitu Beaufort (520 penerima), Membakut (520 penerima), Sipitang (520 penerima) dan Tenom (600 penerima).
Agihan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan IDS bagi memastikan bantuan sampai kepada komuniti yang memerlukan secara tersusun, cepat dan berkesan.
Sebelum ini, agihan turut dilaksanakan di beberapa daerah lain termasuk Keningau, Telupid, Pitas, Sook dan Kota Marudu, selaras dengan komitmen IDS dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada kawasan terjejas.
Bantuan yang dikenali sebagai “Hero Meals” itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IDS bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan komuniti terus terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana alam.
Program berkenaan dilaksanakan dengan sokongan strategik Kembara Kitchen sebagai penyedia makanan serta CIMB Foundation sebagai rakan penyumbang yang bersama-sama menjayakan usaha kemanusiaan itu.
Melalui kerjasama tersebut, pek makanan sedia dimakan diagihkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) serta kawasan terjejas bagi membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam memastikan akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan mudah disediakan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, berkata inisiatif D-Hub bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pemantauan bencana, malah turut berperanan sebagai platform penyelarasan respons bantuan secara lebih sistematik dan berimpak.
Menurut beliau, usaha itu selaras dengan komitmen IDS dalam menyokong pembangunan sosial serta memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan kerjasama dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi bantuan berkenaan.
Pada masa sama, beliau berharap lebih banyak pihak akan tampil berganding bahu bagi memperkukuh kesiapsiagaan bencana pada masa hadapan.
Sehubungan itu, IDS turut mengalu-alukan sumbangan tambahan daripada orang ramai dan pihak korporat dalam bentuk keperluan asas seperti lampin bayi, susu bayi dan tuala wanita yang amat diperlukan oleh mangsa banjir, khususnya bayi, kanak-kanak dan wanita di pusat pemindahan sementara.



