HomeUtamaMahkamah tolak petisyen Pintasan, Fairuz kekal ADUN

Mahkamah tolak petisyen Pintasan, Fairuz kekal ADUN

Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya telah menolak dan membatalkan petisyen yang difailkan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bagi mencabar keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.

Dengan keputusan itu calon Bebas, Datuk Fairuz Renddan, yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, kekal memegang kerusi berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faridz Gohim Abdullah, membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh Fairuz.

Mahkamah turut memerintahkan Pandikar membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Fairuz.Pandikar memfailkan petisyen pilihan raya itu pada 22 Disember tahun lalu. Beliau menamakan Fairuz sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus bagi kawasan Pintasan sebagai responden kedua; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Pandikar, 70, mendakwa berlaku amalan tidak sah semasa pilihan raya bagi kerusi Pintasan pada 29 November 2025. Beliau mendakwa Fairuz terlibat dalam perbuatan rasuah yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam petisyennya, Pandikar memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya berkenaan tidak sah serta bahawa Fairuz tidak dipilih secara sewajarnya atau tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang.

Beliau juga memohon agar dirinya diisytiharkan sebagai calon yang dipilih secara sah, selain menuntut supaya responden menanggung kos petisyen serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 29 Januari tahun ini, Fairuz memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen tersebut, termasuk tuntutan kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 23 Februari tahun ini, pempetisyen memilih untuk tidak meneruskan tindakan terhadap responden kedua dan ketiga dalam petisyen pilihan rayanya. Petisyen terhadap kedua-dua responden itu dibatalkan tanpa sebarang kos tambahan.

Sementara itu, Fairuz ketika ditemui media merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang mewakilinya serta bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan.

Beliau berkata keputusan itu membolehkannya terus memberi tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini dan akan terus fokus menjalankan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan Pintasan,” katanya.

Pandikar dan isterinya turut hadir dalam prosiding mahkamah hari ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November lalu, Pandikar, yang juga presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bertanding dalam pertandingan 11 penjuru bagi kerusi Pintasan di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau memperoleh 3,605 undi, manakala Fairuz meraih 4,675 undi, sekali gus memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,070 undi.

Pandikar diwakili peguam Sukumaran Vanugopal.

Fairuz pula diwakili Rizwandean Bukhary M Borhan, Al-Hafidz Lokman dan Khalid Murshidi.

RELATED ARTICLES
Utama

Sekolah terjejas banjir perlu dibaik pulih segera – PIBKS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular