HomeUtamaIsu sekolah daif tidak wajar diputarbelit demi politik - James

Isu sekolah daif tidak wajar diputarbelit demi politik – James

Read Time:2 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) menegaskan isu sekolah daif di Sabah tidak seharusnya diputarbelitkan demi kepentingan politik sehingga mengelirukan rakyat.

Menterinya, James Ratib berkata, kenyataan pihak tertentu berhubung isu berkenaan gagal menggambarkan konteks sebenar yang telah dijelaskan kementerian sebelum ini, sekali gus berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memperkukuhkan sistem pendidikan di negeri itu.

Menurut beliau, KPSTI bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai pendirian jelas bahawa istilah “sekolah daif” dan “bangunan daif” adalah dua perkara berbeza yang tidak boleh disamakan sewenang-wenangnya.

Katanya, sekolah daif merujuk kepada kelemahan keseluruhan sistem pendidikan dan ekosistem persekolahan termasuk aspek pembelajaran, capaian internet, pengurusan sekolah, akses pendidikan dan keberkesanan sistem persekolahan.

“Bangunan daif pula hanya melibatkan keadaan struktur fizikal bangunan sekolah yang memerlukan penyelenggaraan atau penambahbaikan infrastruktur tertentu.

“Terdapat sekolah yang bangunannya memerlukan naik taraf, namun sistem pembelajaran, pengurusan sekolah, komitmen guru dan pencapaian murid masih berada pada tahap baik dan konsisten,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak tepat untuk melabel keseluruhan sekolah sebagai daif hanya berdasarkan keadaan fizikal bangunan semata-mata.

Menurutnya, usaha memperkukuhkan pendidikan di Sabah tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal sekolah, sebaliknya turut melibatkan pengukuhan keseluruhan ekosistem pendidikan termasuk pembangunan digital, capaian internet, kebajikan murid dan kualiti pengajaran serta pembelajaran.

James berkata, kerajaan negeri juga tidak pernah menafikan masih terdapat pelbagai cabaran pendidikan di Sabah termasuk isu keciciran pelajar, akses internet, pengangkutan dan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar serta pulau terpencil.

Katanya, pelbagai usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi menangani isu berkenaan secara berterusan.

“Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan 14 inisiatif pendidikan melalui Pejabat Tugas-Tugas Khas di bawah KPSTI dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

“Inisiatif ini melibatkan bantuan pendaftaran IPT, bantuan komputer, bantuan peperiksaan, bantuan sekolah, bantuan PIBG, bantuan penyelenggaraan sekolah, bantuan mahasiswa dan penghargaan kecemerlangan akademik,” katanya.

Beliau berkata, KPSTI turut memohon peruntukan khas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi pembelian smartboard untuk sekolah di Sabah sebagai langkah memperkukuhkan pendidikan digital.

Selain itu, katanya, kementerian turut melaksanakan kursus percuma melibatkan empat Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sabah bagi meningkatkan kemahiran tenaga pengajar selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, projek pemasangan internet di sekolah luar bandar melalui kerjasama bersama YTL Communications kini dilaporkan hampir 80 peratus siap.

Katanya, KPSTI juga sudah memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah berskala enam dan tujuh ditambah memandangkan banyak bangunan lama memerlukan perhatian segera.

Menurut beliau, kementerian turut menyokong pelaksanaan pembelajaran berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) melalui platform DELIMa yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Penggunaan smartboard di sekolah dilihat sebagai langkah penting dalam mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar lebih interaktif, moden dan efektif.

“Sekiranya mendapat kelulusan, sekurang-kurangnya setiap sekolah akan menerima satu unit smartboard bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

James berkata, meskipun beliau baharu menerajui KPSTI selama kira-kira enam bulan, kementerian memahami masih banyak cabaran pendidikan yang perlu diberi perhatian khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tegas beliau, kerajaan negeri akan terus komited memperjuangkan keperluan pendidikan demi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses pendidikan lebih baik, berkualiti dan selari dengan perkembangan semasa.

“Pendidikan adalah soal masa depan anak-anak Sabah dan tidak seharusnya dijadikan bahan politik murahan demi kepentingan tertentu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Masidi dilantik timbalan pengerusi GRS, Armizan sebagai setiausaha agung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular