Oleh Wan Azrain Adnan
Setiap tahun, ketibaan Bazar Ramadan dan Aidilfitri dinantikan ramai bukan sahaja oleh rakyat tempatan, malah pelancong. Suasana meriah seumpama pesta, dengan pelbagai pilihan makanan, minuman, pakaian dan aksesori, menjadikan bazar ini sebahagian daripada identiti budaya dan ekonomi negara.
Lebih daripada sekadar tradisi, Bazar Ramadan dan Aidilfitri merupakan platform ekonomi penting, khususnya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Dengan penglibatan puluhan ribu peniaga dan ratusan ribu pekerja, bazar ini menjana nilai jualan yang sangat besar dalam tempoh singkat.
Ekonomi Bazar: Lonjakan Nilai Berbilion Ringgit
Menurut Laporan Statistik Bazar Ramadan dan Aidilfitri Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai jualan keseluruhan meningkat daripada RM2.4 bilion (2022) kepada RM3.2 bilion (2025).
Dalam tempoh sama:
- Bilangan gerai meningkat kepada 96,549
- Jumlah pekerja meningkat kepada 281,876 orang
Daripada jumlah RM3.2 bilion tersebut:
- Bazar Ramadan menyumbang RM2.6 bilion
- Bazar Aidilfitri menyumbang RM0.6 bilion
Ini jelas menunjukkan bahawa bazar bukan sahaja meriah dari sudut sosial, tetapi juga menjadi pemacu ekonomi rakyat.
Taburan Negeri dan Momentum Sabah
Dari segi negeri, Selangor mendahului dengan nilai jualan RM667.9 juta, diikuti Johor dan Kuala Lumpur.
Di Malaysia Timur:
- Sarawak: RM170.6 juta
- Sabah: RM126.7 juta
- Labuan: RM6.9 juta
Bagi Sabah, peningkatan hampir 35% dalam tempoh dua tahun daripada RM94.8 juta (2023) kepada RM126.7 juta (2025), menunjukkan momentum ekonomi yang semakin kukuh, dengan lebih 5,500 gerai dan hampir 14,000 pekerja terlibat.
Di peringkat daerah pula, Johor Bahru mencatat nilai jualan tertinggi, diikuti Petaling, Gombak dan Klang mencerminkan kepekatan aktiviti ekonomi di kawasan bandar utama.
Platform Rezeki Rakyat
Hakikatnya, bazar ini menjadi sumber pendapatan penting bagi ramai rakyat — sama ada sebagai pendapatan utama atau sampingan.
Peningkatan bilangan gerai dan pekerja setiap tahun mencerminkan kesungguhan rakyat untuk mengambil peluang menjana pendapatan daripada ekosistem ekonomi Ramadan yang bernilai berbilion ringgit.
Realiti Gelap: Pembaziran yang Berterusan
Namun, di sebalik kemeriahan ini, wujud satu isu berulang yang semakin membimbangkan — pembaziran makanan.
Setiap Ramadan, jumlah sisa makanan yang dikutip adalah sangat besar, khususnya dari bazar di seluruh negara.
Sebagai contoh: Pulau Pinang mengumpul sehingga 30 tan sisa makanan sehari
Kuala Lumpur mencatat peningkatan sisa domestik sebanyak 23% kepada lebih 45,000 tan dalam tempoh 1–25 Ramadan
Menurut Alam Flora, lebihan makanan dari bazar merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan sisa, selain penggunaan plastik dan polisterin.
Dianggarkan sehingga 60% sisa makanan sebenarnya boleh dielakkan melalui perancangan pembelian dan pengurusan makanan yang lebih baik.
Trend Penurunan, Tetapi Masih Membimbangkan
Walaupun terdapat petunjuk penurunan dalam komposisi sisa makanan , dijangka kepada 39.62% tahun ini berbanding 44.5% (2023), jumlah keseluruhan sisa masih besar.
Malaysia juga pernah dilaporkan sebagai antara negara dengan kadar pembaziran makanan tertinggi di dunia, mencecah 8.3 juta tan setahun atau sekitar 259.82 kg per kapita.
Dalam laporan terkini, Malaysia masih berada di kedudukan ke-4 tertinggi di Asia Tenggara dari segi sisa makanan per kapita.
Ini menunjukkan bahawa walaupun kesedaran meningkat, cabaran sebenar masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Keperluan Reformasi: Dasar dan Kesedaran
Cadangan penggubalan Akta Pengurangan Sisa Makanan yang disokong oleh FOMCA merupakan langkah ke hadapan yang penting.
Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi.
Pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan, termasuk:
- Pendidikan dan kesedaran awam
- Perancangan pembelian yang lebih berhemah
- Pengurusan rantaian makanan yang lebih cekap
- Pengukuhan amalan SDG 12: Responsible Consumption and Production
Dilema Negara: Rezeki dan Pembaziran dan Inilah dilema sebenar yang dihadapi negara.
Di satu sisi, Bazar Ramadan membuka peluang ekonomi kepada ribuan rakyat dan menjana nilai berbilion ringgit.
Namun di sisi lain, pembaziran makanan berlaku dalam skala yang besar , ironinya ketika sebahagian rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup.
Persoalannya bukan sama ada bazar perlu diteruskan, tetapi bagaimana ekosistem ini boleh diurus dengan lebih lestari dan bertanggungjawab.
Akhirnya, kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui nilai jualan, tetapi sejauh mana kita menghargai sumber dan mengurangkan pembaziran.



