KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa bekalan bahan api petrol, diesel dan LPG di negara ini termasuk di Sabah adalah mencukupi dan stabil, sekali gus menafikan dakwaan berlakunya kekurangan bekalan di beberapa stesen minyak baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara tersebut dimaklumkan dalam kunjungan hormat beliau kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini pada Selasa
Beliau berkata, khabar angin mengenai ketidakcukupan bekalan adalah tidak tepat kerana situasi sebenar berpunca daripada isu logistik terpencil yang menyebabkan kelewatan penghantaran selama beberapa jam di lokasi tertentu, khususnya ketika peningkatan permintaan sempena musim perayaan.
“Sehingga kini tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api dalam negara. Bekalan semasa adalah mencukupi malah keadaan di Malaysia lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk di rantau ini,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Armizan turut membentangkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang telah diaktifkan semula bagi memperkukuh tindakan membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api, khususnya di kawasan sempadan Sabah.
Beliau menjelaskan, risiko ketirisan semakin meningkat susulan konflik di Asia Barat serta jurang harga ketara antara bahan api bersubsidi dalam negara dengan harga di negara jiran.
Sehubungan itu Armizan menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan adalah terjamin dan pemantauan berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan rantaian bekalan berjalan lancar.
Dalam masa sama katanya, KPDN memberi amaran bahawa sebarang penjualan atau pengisian bahan api selain ke dalam tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peraturan-peraturan berkaitan.
“KPDN tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa, manakala pengusaha stesen minyak diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, Hajiji menegaskan bekalan bahan api yang konsisten amat penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, terutama bagi sektor logistik, perikanan dan pertanian yang bergantung kepada penggunaan diesel.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang menyampaikan taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib, Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin serta pegawai kanan suruhanjaya itu.



