TAWAU,Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau hari ini mengisytiharkan bencana kemarau susulan keadaan cuaca panas berpanjangan yang memberi kesan kepada bekalan air di beberapa kawasan, khususnya di Pulau Sebatik.
Pengisytiharan itu dibuat pada jam 10 pagi berdasarkan laporan dan maklumat semasa di lapangan yang menunjukkan situasi semakin membimbangkan, terutama melibatkan bekalan air bersih kepada penduduk.
Menurut kenyataan, Pulau Sebatik dikenal pasti antara kawasan paling terjejas, sekali gus memerlukan tindakan segera dan penyelarasan bantuan oleh agensi berkaitan.
“Semua pihak digesa untuk terus peka terhadap keadaan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga serta mengamalkan penggunaan air secara berhemah bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang tempoh kemarau,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi menyelaras bantuan serta memastikan kebajikan penduduk terjejas sentiasa terpelihara.
Langkah-langkah pemantauan dan bantuan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan situasi di lapangan.
Orang ramai turut dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan pembaziran air bagi membantu mengurangkan impak kemarau.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.



