KOTA KINABALU: Seorang wanita dikenakan hukuman denda RM100 atau tujuh hari penjara kerana memiliki wang RM800 dalam akaun bank yang disyaki diperoleh secara curang.
Haziah Kutih, 37, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, hari ini.
Tertuduh mengaku memiliki wang berjumlah RM800 dalam akaun bank miliknya yang secara munasabah disyaki diperoleh secara curang daripada seorang wanita, dan tertuduh juga gagal memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana beliau memperolehi wang tersebut.
Kesalahan itu dilakukan pada 4 September 2023 di KK Times Square.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Bab 80) Negeri Sabah yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan kerja sambilan pada 6 Ogos 2023.
Mangsa yang berminat kemudiannya diberikan penerangan mengenai tugasan serta dijanjikan pulangan lumayan. Seterusnya, mangsa melaksanakan enam tugasan dan membuat bayaran daripada akaun bank miliknya ke beberapa akaun bank berbeza.
Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan dan tidak menerima komisen yang dijanjikan, sebelum membuat laporan untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


