KOTA KINABALU : Penubuhan Galeri Polis Negeri Sabah menjadi langkah penting dalam usaha memelihara dan mendokumentasikan sejarah pasukan selain menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Galeri yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu turut memaparkan pelbagai artifak bersejarah termasuk bahan berkaitan Ops Daulat yang menjadi titik hitam dalam sejarah keselamatan Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, usaha menubuhkan galeri berkenaan bermula sejak 2018, namun berdepan cabaran apabila pelaksanaannya tertangguh akibat pandemik COVID-19.

“Namun, berkat kesungguhan dan komitmen tinggi kepimpinan PDRM Sabah, usaha ini tidak pernah padam dan pada tahun 2022, hasil perbincangan bersama Kerajaan Sabah, peruntukan awal sebanyak RM1.15 juta telah diluluskan.
“Ia adalah bagi memulakan langkah fizikal pembinaan galeri dan tugu peringatan Ops Daulat di Lahad Datu,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini pada Rabu.
Jauteh berkata, antara keunikan galeri tersebut adalah keputusan mengekalkan artifak Ops Daulat di Sabah bagi memastikan sejarah itu kekal dekat dengan rakyat negeri ini.

Katanya, langkah itu penting agar generasi muda dapat memahami dan menghayati pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara.
“Ini bukan sekadar pameran, tetapi satu platform untuk rakyat melihat sendiri bukti perjuangan wira negara yang sanggup berkorban demi keamanan,” katanya.

Dengan pembukaan Galeri Polis Negeri Sabah, PDRM kini mempunyai tiga galeri utama sebagai pusat rujukan sejarah di negara ini.
Selain di Sabah, dua lagi galeri lain adalah di Galeri Darurat Bukit Kepong di Johor dan Galeri Ketua Polis Negara di Kuala Lumpur.
Selain memelihara artifak, galeri ini juga berfungsi sebagai medium pendidikan dan penceritaan sejarah perjalanan pasukan keselamatan di Sabah. – SABAH MEDIA



