HomeUtamaKerajaan sedia lebih RM80 juta perkasa sektor pendidikan

Kerajaan sedia lebih RM80 juta perkasa sektor pendidikan

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyediakan lebih RM80 juta bagi memperkasa sektor pendidikan di negeri ini melalui pelbagai inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan itu meningkat berbanding RM70 juta sebelum ini, selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasa pendidikan termasuk pendidikan agama.

“Kerajaan negeri turut meningkatkan dana biasiswa kepada lebih RM100 juta bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat peluang melanjutkan pengajian.

“Ini bermakna tiada lagi alasan untuk anak-anak kita tidak melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan kerana pelbagai bantuan telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Mumtaz Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) Tahun 2025 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS, di sini pada Rabu.

Arifin yang juga Exco Agama berkata, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menyumbang kira-kira RM40 juta setahun melalui zakat bagi menyokong pendidikan khususnya dalam bidang agama.

“Selain itu, kerajaan juga memberi perhatian terhadap kebajikan guru termasuk penambahan guru serta kenaikan jawatan bagi memperkukuh sistem pendidikan agama di negeri ini.

“Peningkatan prestasi pelajar dalam SRU dan SMU menunjukkan keberkesanan usaha berterusan kerajaan dan agensi berkaitan dalam memperkasa pendidikan agama,” katanya.

Pada majlis itu, pelajar dari Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Beaufort, Nur Aliya Raju Karno menerima anugerah pelajar terbaik SRU dengan pencapaian 98 peratus, manakala Balqis Nur Danisha Bahri dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajjah Rahmah dinobatkan sebagai pelajar terbaik SMU dengan memperoleh 94.68 peratus.

Sementara itu, pelajar SMAN Kunak, Muhammad Faezz Hakim Rahim menerima pengiktirafan sebagai pelajar terbaik bagi aliran Tahfiz.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awg Tahir.

RELATED ARTICLES
Utama

Fenomena cuaca panas: Sekolah diminta tangguh aktiviti luar jika suhu lebih...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular