KOTA KINABALU : Seramai 277 pelajar cemerlang menerima Anugerah Mumtaz dalam Majlis Anugerah Pelajar Mumtaz Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang pendidikan agama.
Daripada jumlah itu, seramai 213 pelajar SRU dan 64 pelajar SMU mencapai tahap Mumtaz.
Antara penerima utama, Nur Aliya Raju Karno dari Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Beaufort dinobatkan sebagai pelajar terbaik SRU dengan pencapaian 98 peratus.

Nur Aliya berkata, kejayaannya adalah hasil usaha berterusan dalam mengulang kaji pelajaran serta sokongan ibu dan guru.
“Saya biasanya membaca dan menulis semula apa yang dipelajari sehingga benar-benar faham,” katanya yang bercita-cita menjadi guru sejarah.
Bagi kategori SMU, pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajjah Rahmah, Balqis Nur Danisha Bahri muncul sebagai pelajar terbaik dengan memperoleh 94.68 peratus, manakala pelajar dari SMAN Kunak, Muhammad Faezz Hakim Rahim menerima pengiktirafan sebagai pelajar terbaik aliran Tahfiz.
Menurut Balqis, amalan disiplin dan kerohanian menjadi antara kunci kejayaannya.

“Saya banyak melakukan solat malam dan solat hajat, selain mengulang kaji pelajaran seawal jam 3 pagi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Faezz Hakim pula berkata, kejayaannya adalah hasil sokongan dan doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru.
“Keputusan ini adalah berkat doa ibu bapa dan tunjuk ajar guru-guru yang sentiasa memberi sokongan sepanjang pembelajaran saya,” ujarnya.
Selain itu, SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah turut diiktiraf sebagai sekolah dengan pencapaian terbaik bagi SMU.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Ustaz Awang Juri Awg Tahir.



