Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sektor pelancongan di Sabah dijangka berdepan kesan ketara susulan kenaikan harga minyak global yang dipengaruhi konflik di Asia Barat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, situasi itu secara langsung memberi kesan kepada ketibaan pelancong antarabangsa ke Sabah memandangkan kos perjalanan semakin meningkat.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak memberi implikasi besar terhadap sektor pengangkutan termasuk bot, bas pelancongan dan perkhidmatan persiaran yang menjadi tulang belakang industri pelancongan negeri.
“Memang kita jangkakan kesan ketara apabila harga minyak meningkat kerana ia melibatkan kos pengangkutan dan perhubungan.
“Ini memberi kesan kepada pengusaha pelancongan yang masih dalam fasa pemulihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Jafry berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kesan global terhadap ketibaan pelancong ke Sabah.
Beliau berkata, setakat ini kesan awal sudah mula dirasai apabila pengusaha pelancongan termasuk operator bot dan pengangkutan terpaksa menaikkan harga selaras dengan penetapan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, keadaan itu turut memberi kesan kepada tempahan pelancongan apabila terdapat pembatalan daripada pasaran yang terlibat dengan konflik.
“Memang sudah nampak kesan terhadap tempahan pelancongan. Namun ini bukan sahaja berlaku di Sabah, malah seluruh dunia turut berdepan situasi sama,” katanya.
Mengulas kebimbangan situasi itu boleh berulang seperti pandemik COVID-19, beliau berharap ia tidak sampai ke tahap tersebut, namun menggesa pengusaha industri supaya mengambil langkah berjimat cermat dalam menghadapi cabaran semasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat bagi menentukan langkah intervensi susulan perkembangan berkenaan.
Katanya, sektor pelancongan dijangka menjadi antara fokus utama dalam perbincangan tersebut memandangkan kepentingannya sebagai penyumbang besar kepada ekonomi Sabah. – SABAH MEDIA



