HomeUtamaSektor ekonomi, pelaburan dan infrastuktur Sabah catat perkembangan positif - Tun Musa

Sektor ekonomi, pelaburan dan infrastuktur Sabah catat perkembangan positif – Tun Musa

Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU : Sabah terus menunjukkan perkembangan positif dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, usaha itu dipergiat melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya, usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan.

“Pembangunan infrastruktur asas yang meliputi pembinaan dan penaiktarafan jalan raya, sistem bekalan air bersih serta  kemudahan bekalan elektrik yang stabil harus diberikan penekanan.

“Usaha ini amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, di samping merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar.

“Pembangunan prasarana yang terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya.

Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 di Istana Seri Kinabalu di sini pada Isnin.

Beliau berkata, aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, juga akan diberikan penekanan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini.

Menurutnya, pembangunan modal insan yang berkualiti merupakan asas utama dalam memastikan negeri Sabah mampu bersaing dan terus maju.

“Turut diberikan keutamaan adalah aspek kesihatan bagi meningkatkan  kesejahteraan  rakyat,  melalui  peningkatan  kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh.

“Tujuannya adalah untuk memastikan setiap rakyat mendapat rawatan yang cepat, selamat dan berkesan.

“Saya merasa gembira mendapat tahu bahawa, transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam sedang giat dilaksanakan. Inisiatif pendigitalan sistem dan proses kerja bertujuan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemudahan akses kepada rakyat.

“Pendekatan ini, membolehkan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Musa turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan seluruh anggota Kabinet atas komitmen berterusan dalam merancang dan melaksanakan   dasar-dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Segala usaha yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam telah menyumbang kepada kestabilan, kemajuan serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Jabatan Perhutanan Sabah pertahan gelaran juara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular