HomeUtamaEkonomi Sabah dijangka terus berkembang positif

Ekonomi Sabah dijangka terus berkembang positif

Read Time:2 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah diyakini mampu terus berkembang secara positif meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras utama agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Dengan selesainya proses Pilihan Raya Negeri ke-17 pada akhir November tahun lalu, Kerajaan Negeri yang saya pimpin ini bertekad untuk memperhebatkan agenda pembangunan untuk tempoh lima tahun mendatang, bersandarkan Hala Tuju SMJ 2.0 yang telah dilancarkan pada 30 Januari lalu.

“Hala tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula pada tahun ini sehingga 2030. 

“Justeru, saya amat yakin, melalui Hala Tuju SMJ 2.0, ekonomi negeri mampu berkembang dengan positif meskipun akan berlaku tekanan luaran seperti kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah dan di Eropah Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, ekoran pergolakan tersebut, mengakibatkan bekalan minyak dunia turut terjejas.

“Keadaan ini mencetuskan krisis tenaga di peringkat global, yang juga bakal dirasai di negara ini. 

“Justeru, saya mengajak seluruh rakyat untuk mengambil langkah berjimat cermat khususnya dalam berbelanja dan penggunaan kenderaan seharian,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar lebih berhemah dalam penggunaan air berikutan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda fenomena El-Nino yang berpotensi menyebabkan kemarau panjang.

“Untuk itu, elakkanlah daripada melakukan pembakaran terbuka, dan kurangkan aktiviti luar terutama ketika suhu mencapai tahap panas yang luar biasa,” katanya.

Menyentuh prestasi ekonomi negeri, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mula menerokai potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik utama di bawah SMJ 2.0, berasaskan kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah.

“la merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, serta penggunaan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu turut melibatkan perlindungan pesisir pantai, bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai tambah yang lebih tinggi.

“Penerokaan Ekonomi Biru ini, terutama dalam sektor perikanan dan akuakultur, dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan berjalan secara teratur, cekap dan berkesan.

“Projek-projek pembangunan, khususnya yang menjadi keutamaan, meliputi pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan perlu dipantau lebih rapi agar berjalan lancar dan terlaksana seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, Hajiji turut mengajak seluruh kepimpinan negeri termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk bersama-sama memperkukuh azam dan iltizam dalam memacu kemajuan Sabah.

“Saya ingin mengajak seluruh kepimpinan negeri, untuk kita terus mencurahkan khidmat bakti demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya

RELATED ARTICLES
Utama

Cuaca panas: PdPR tidak jejaskan pembelajaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular