HomeUtamaMenteri KWKKR tinjau HQE II, tekankan peningkatan perkhidmatan kesihatan

Menteri KWKKR tinjau HQE II, tekankan peningkatan perkhidmatan kesihatan

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Julita Majungki, meninjau Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, hari ini bagi memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan di negeri ini terus dipertingkatkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong itu berkata, lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk menilai sendiri operasi hospital serta memahami keperluan petugas dan pesakit di Sabah.

Menurutnya, lawatan itu merupakan yang kedua daripada keseluruhan 24 hospital di negeri ini, selepas kunjungan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan sebelum ini.

“Ini adalah lawatan kerja yang memang saya rancang bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan pasukan kementerian.

“Daripada 24 hospital di Sabah, ini baru yang kedua saya lawati,” katanya ketika ditemui media.

Julita berkata, lawatan tersebut memberi peluang untuk melihat secara langsung cabaran yang dihadapi termasuk aspek keselesaan pesakit dan kebajikan kakitangan hospital.

“Antara isu yang dikenal pasti adalah kemudahan tempat letak kereta yang perlu diberi perhatian. Ia penting bukan sahaja untuk pesakit, tetapi juga untuk doktor, jururawat dan kakitangan lain,” katanya.

Mengulas mengenai Pusat Jantung Sabah di HQE II, beliau memaklumkan kerja-kerja awal menaik taraf kemudahan sedia ada sedang berjalan lancar.

“Ruang sedia ada sedang dinaik taraf untuk mewujudkan seksyen khas bagi Pusat Jantung Sabah yang lebih moden.

“Secara fizikal, kerja menaik taraf belum memasuki fasa penuh, namun beberapa peringkat sedang dirancang dan dalam proses pelaksanaan,” katanya.

Beliau menegaskan, lawatan seumpama itu penting bagi memastikan setiap fasiliti kesihatan di Sabah dapat beroperasi dengan baik serta menyediakan perkhidmatan yang lebih selesa kepada rakyat.

“Melalui lawatan ini, kita dapat mengenal pasti keutamaan sebenar di lapangan dan menyusun tindakan susulan dengan lebih berkesan,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri KWKKR, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap KWKKR, Datuk Maria Chong; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis; serta Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim.

RELATED ARTICLES
Utama

SUKMA 2026 : Sabah sasar 40 pingat emas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular