KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner dimaklumkan bahawa insiden konfrontasi ‘dorm’ merupakan faktor pencetus dan pemangkin kepada tindakan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengakhiri nyawa sendiri.
Saksi ke-67, Pakar Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung, 43, berkata kejadian mengakhiri nyawa itu berkemungkinan tidak akan berlaku pada pagi atau malam berkenaan sekiranya konfrontasi di dalam bilik asrama tidak berlaku.
Saksi itu berkata beliau tidak menolak kemungkinan tindakan mengakhiri nyawa mungkin boleh berlaku pada waktu lain atau dalam keadaan berbeza di bawah faktor ketidakstabilan tertentu, namun ia tidak mungkin berlaku pada masa kejadian tanpa konfrontasi berkenaan.
Menurutnya lagi, mekanisme daya tindak Zara kebanyakannya melibatkan usaha mendapatkan sokongan serta interaksi dengan rakan sebaya, menulis diari dan pada tahap tertentu melakukan kecederaan kendiri tanpa niat bunuh diri (Non-Suicidal Self-Injury, NSSI).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada pegawai pengendali Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Fairuz: Adakah pada malam kejadian tiada mekanisme pengurusan tekanan yang dapat menghalang Zara daripada mengakhiri nyawa sendiri?
Saksi: Mekanisme pengurusan tekanan Zara banyak bergantung kepada mendapatkan sokongan dan berinteraksi dengan rakan sebaya, menulis diari, serta pada tahap tertentu, NSSI. Pada malam kejadian, selepas konfrontasi ‘dorm’ (nama bilik disebut), saya percaya beliau kehilangan akses kepada mekanisme pengurusan tekanan yang biasa digunakannya.
Fairuz: Apabila doktor menyebut tentang konfrontasi bilik asrama, adakah ia merupakan faktor pencetus atau satu-satunya faktor yang mempengaruhi Zara untuk mengakhiri nyawa sendiri?
Saksi: Saya tidak percaya satu faktor sahaja menyebabkan kejadian itu. Namun, konfrontasi ‘dorm’ itu sememangnya merupakan faktor pencetus dan pemangkin kejadian tersebut.
Fairuz: Adakah insiden itu masih boleh berlaku tanpa konfrontasi ‘dorm’ itu pada malam tersebut?
Saksi: Saya tidak fikir begitu. Tindakan itu mungkin berlaku pada masa lain di bawah keadaan atau faktor ketidakstabilan lain, tetapi adalah tidak mungkin ia berlaku pada pagi atau malam tersebut tanpa konfrontasi ‘dorm’.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan pagi di Hospital Queen Elizabeth.
Sebelum ini, beberapa saksi kanak-kanak telah memberi keterangan di Mahkamah bahawa Zara pernah dipanggil dan disoal siasat berhubung kecurian pada malam 15 Julai 2025.
Zara dilaporkan dikepung, dimaki dan ada juga saksi yang melihatnya menangis.
Bekas Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah yang kini merupakan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Nahra Dollah, turut bertindak sebagai pegawai pengendali bagi inkues ini.
Ibu Zara, Noraidah Lamat, diwakili peguam Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, pula diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyone Conrad.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan bertindak bagi pihak Pelajar A, manakala peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan mewakili Pelajar B, C, D dan E.
Kelima-lima kanak-kanak ini berdepan pertuduhan mencela Zara di Mahkamah kanak-kanak.



