PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes curi dalam premis membabitkan kedai emas di sekitar daerah ini dan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berumur 45 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Penampang pada 31 Mac 2026 kira-kira jam 1.00 petang di sebuah bangunan komersial di Kota Kinabalu.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada rampasan enam utas gelang tangan emas pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai RM50,000 mengikut harga pasaran.
“Turut dirampas sebuah kenderaan, telefon bimbit, pakaian serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah harta benda serta penyalahgunaan dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.



