TENOM: Keputusan Kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai langkah tepat yang memberi kelegaan kepada rakyat negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata keputusan itu amat signifikan memandangkan keperluan penggunaan kenderaan diesel yang tinggi, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kita mengucapkan terima kasih atas kebijaksanaan Perdana Menteri mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.
“Kita memahami kebanyakan rakyat Sabah menggunakan kenderaan diesel, khususnya kenderaan pacuan empat roda, disebabkan faktor geografi, jarak antara pekan yang jauh serta keadaan jalan raya yang belum setara dengan di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihoskannya di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, Jamawi berharap masyarakat di Semenanjung dapat memahami keperluan berbeza di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut menasihatkan rakyat supaya memanfaatkan subsidi bahan api secara berhemah dan mengelakkan pembaziran.
“Kita gunakan kemudahan ini sebaiknya. Jika ada lebihan, berjimatlah kerana ia penting untuk masa depan. Jangan membazir,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pengusaha sektor pertanian dan perikanan agar lebih berwaspada sepanjang musim panas, khususnya dengan mengelakkan pembakaran terbuka.
“Kita nasihatkan supaya elakkan pembakaran terbuka kerana ia boleh mengundang risiko kebakaran serta menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, kementerian juga sedang berusaha membantu petani kecil yang belum menerima subsidi bahan api.
“Kita telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup supaya mereka ini dapat didaftarkan dan turut menikmati subsidi bahan api bagi kegunaan sektor pertanian, perikanan dan penternakan,” katanya.



