HomeUtamaOps Tiris 4.0: Dua lelaki ditahan, 120 liter diesel bersubsidi dirampas

Ops Tiris 4.0: Dua lelaki ditahan, 120 liter diesel bersubsidi dirampas

Read Time:1 Minute, 47 Second

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan menumpaskan cubaan menyeleweng 120 liter diesel bersubsidi dalam Ops Tiris 4.0, dengan penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang warga asing, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan Joe Azmi Jamil berkata serbuan kira-kira jam 11.12 pagi itu membawa kepada rampasan diesel yang diisi dalam tujuh jerikin dan diangkut di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM70,258.

“Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki berusia antara 34 hingga 49 tahun itu tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membeli diesel bersubsidi dalam kuantiti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, serbuan tersebut merupakan susulan pelaksanaan arahan KPDN bermula 1 April 2026 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang mewajibkan pelesen stesen minyak mengawal penjualan diesel mengikut kategori kenderaan dengan had 50, 100 dan 150 liter bagi setiap transaksi.

Langkah ini adalah penting bagi memastikan bekalan minyak diesel yang dijual pada harga subsidi RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri yang tidak layak.

Tambahnya, kedua-dua suspek serta pengusaha stesen minyak akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

KPDN turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya mematuhi arahan kawalan jualan diesel serta larangan penjualan petrol RON95 dan diesel bersubsidi kepada pembeli tanpa kebenaran bertulis Pengawal Bekalan Malaysia. Tindakan tegas akan diambil terhadap pelesen yang ingkar.

“KPDN Sandakan akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di bawah Ops Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan. Orang ramai juga dialu-alukan menyalurkan maklumat, namun diingatkan tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan kegusaran awam.”

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui saluran aduan rasmi KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Sutati 2026 perkukuh budaya, tarikan pelancong – Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular