HomeUtamaPIBKS Sabah perkukuh peranan, bantu kurangkan keciciran calon SPM

PIBKS Sabah perkukuh peranan, bantu kurangkan keciciran calon SPM

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sabah akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara sekolah, ibu bapa dan komuniti khususnya dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi PIBKS Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, pihaknya terlibat secara langsung dalam program turun padang ke kawasan kampung bagi menjejaki pelajar yang dikenal pasti mempunyai masalah kehadiran.

Beliau berkata, program turun padang itu turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurutnya, pendekatan bersemuka bersama ibu bapa menjadi antara strategi utama bagi memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan serta tanggungjawab memastikan anak-anak kekal berada dalam sistem persekolahan.

“PIBKS berperanan sebagai jambatan antara pihak sekolah dan komuniti. Kita turun bersama JPN dan PPD untuk bertemu ibu bapa serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini pada Ahad.

Arif berkata, maklumat pelajar berisiko tidak menduduki peperiksaan SPM diperoleh melalui data kehadiran sekolah yang membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti lebih awal pelajar terlibat.

Tambah beliau, penglibatan PIBKS memudahkan pendekatan kepada ibu bapa kerana elemen komuniti menjadikan perbincangan lebih terbuka dan mesra.

“Bila komuniti sendiri terlibat, ibu bapa lebih selesa untuk berbincang. Kita bukan sekadar menasihati, tetapi bersama-sama mencari jalan supaya anak mereka dapat terus belajar dan menduduki SPM,” katanya.

Sebelum itu, Pengarah JPN Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah calon SPM yang tidak hadir peperiksaan kepada dua digit pada tahun ini berbanding 699 orang calon yang direkodkan pada tahun 2025.

Katanya, sasaran itu merupakan komitmen bersama melibatkan pelbagai pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD); pentadbir sekolah; guru; ibu bapa dan pelajar sendiri.

“Tahun ini 2026 dan tahun berikutnya saya meletakkan satu sasaran, tiga angka itu saya mahu kurangkan kepada dua angka. Ini bukan sasaran saya sahaja tetapi semua pihak. Dua digit itu bermakna adalah 10 atau 11 dan paling tinggi 99.

“Kalau itu kita dapat buat, saya ingat memang ini tiada yang mustahil. Sabah ini masih banyak ruang untuk kita bantu. Ibu bapa bersedia untuk berubah. Guru pun bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Sutati 2026 perkukuh budaya, tarikan pelancong – Joachim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular