HomeUtamaHak 40 peratus Sabah bukan untuk ditangguh, rundingan perlu diteruskan - Azizah

Hak 40 peratus Sabah bukan untuk ditangguh, rundingan perlu diteruskan – Azizah

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Hak 40 peratus Sabah bukan alasan untuk terus melengah-lengahkan tindakan, kata Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Beliau menegaskan, keputusan ‘stay of execution’ oleh mahkamah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan rundingan, sebaliknya proses tersebut perlu diteruskan jika wujud kesungguhan dalam pelaksanaan di peringkat Persekutuan.

“Jangan jadikan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak. ‘Stay’ bukan bermaksud rundingan juga perlu dihentikan. Jika benar ada kesungguhan politik, rundingan mesti berjalan tanpa henti,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan menangguhkan rundingan hanya mencerminkan kegagalan untuk menghormati hak Sabah yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu hak berkenaan yang sepatutnya dinikmati sejak dahulu lagi, namun terus dinafikan atas pelbagai alasan.

“Ini bukan tuntutan baharu, tetapi hak yang telah lama tertangguh. Berapa lama lagi rakyat Sabah harus menunggu? Sampai bila hak ini mahu dipinggirkan?” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan hak Sabah merupakan satu bentuk pengabaian terhadap rakyat negeri ini yang juga sebahagian daripada Malaysia.

“Rakyat Sabah bukan rakyat kelas kedua. Kita berhak mendapat pembelaan yang adil. Jangan biarkan rakyat terus terkesan hanya kerana kelemahan membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Mengulas isu subsidi diesel, beliau menolak dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata, sebaliknya menegaskan ia berkait rapat dengan sumbangan hasil negeri.

“Itu kenyataan tidak bertanggungjawab dan berniat memesongkan fakta. Hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak, jadi jangan pertikaikan hak kami untuk menerima manfaat daripada sumber sendiri,” katanya.

Beliau turut membidas pihak yang mempertikaikan keistimewaan Sabah tanpa memahami realiti kos sara hidup yang lebih tinggi di negeri ini.

“Walaupun ada subsidi, rakyat Sabah tetap menanggung kos hidup yang tinggi akibat dasar seperti kabotaj dan kos logistik. Jangan gambarkan Sabah seolah-olah terlalu ‘dimanjakan’,” ujar beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

811 murid terjejas banjir di Sabah, empat sekolah terlibat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular