HomeUtamaWarga asing tinggal lebih masa, miliki pas palsu didenda RM15,000

Warga asing tinggal lebih masa, miliki pas palsu didenda RM15,000

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga India yang telah tinggal melebihi tempoh di Sabah dan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara e-pass palsu, didenda RM15,000.

Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain, menjatuhkan hukuman ke atas Dhivin Kumar, 28, selepas beliau mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Dhivin didenda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut, kerana tinggal di negeri ini selepas Pas Lawatan Sosialnya yang sah sehingga 27 November 2025 tamat tempoh. Tertuduh telah tinggal lebih masa di Malaysia selama tiga bulan dan 24 hari.

Beliau ditangkap pada 23 Mac tahun ini, jam 10.30 malam, di kaunter pemeriksaan Imigresen, Balai Ketibaan Domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Dhivin didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) Akta yang sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Dhivin dikenakan denda RM5,000 atau empat bulan penjara kerana memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara e-pass palsu atas namanya, pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah seksyen 56(1)(aa) Akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10, 000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dhivin, yang tidak diwakili peguam, memohon supaya hanya denda dikenakan ke atasnya.

Pegawai Pendakwa, Mohd Hairul Bona dari Jabatan Imigresen, meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang sewajarnya.

Sementara itu, lima warga asing masing-masing dihukum penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.

Kesemua tertuduh terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina yang ditangkap selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada pegawai Imigresen semasa operasi di kawasan bandar.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh untuk dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS anjur wacana hubungan antarabangsa bersama duta Romania

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular