Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesan beberapa kes ketidakpatuhan melibatkan kenderaan motor menerusi pemeriksaan yang dijalankan dalam Operasi Gerak Kebangsaan peringkat negeri Sabah.
Pengarah JAS Sabah Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, operasi yang dijalankan selama lima hari bermula 4 April lalu itu memberi tumpuan kepada pelepasan asap serta tahap bunyi bising kenderaan, khususnya melibatkan kenderaan diesel dan motosikal.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 118 kenderaan diesel, 25 kenderaan petrol dan 40 motosikal telah diperiksa di beberapa lokasi sekitar bandar ini.
“Daripada jumlah tersebut, tiga kenderaan diesel dan 10 motosikal didapati tidak mematuhi piawaian ditetapkan, termasuk kes pelepasan asap berlebihan dan pengubahsuaian ekzos yang tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Ops Gerak Kebangsaan Kenderaan Motor dan Ops Gempur peringkat negeri Sabah di Jalan Tun Fuad Stephens di sini pada Rabu.
Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Nor Rashidah berkata, menerusi operasi itu pihaknya telah mengeluarkan 13 kompaun serta empat notis arahan kepada pemilik kenderaan terlibat bagi memastikan tindakan pembetulan segera diambil.

Beliau berkata, agensi penguat kuasa lain turut mengambil tindakan dengan pihak polis trafik mengeluarkan lima saman, JPJ sebanyak 59 kompaun, manakala LPKP mengeluarkan dua notis.
“Pemeriksaan berkala seperti ini penting bagi memastikan kenderaan di jalan raya sentiasa mematuhi piawaian ditetapkan dan tidak menyumbang kepada pencemaran udara,” katanyam
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua pemilik kenderaan agar melakukan penyelenggaraan enjin secara berkala, menggunakan bahan api berkualiti serta memastikan sistem ekzos berada dalam keadaan baik.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjamin kualiti udara yang bersih dan selamat untuk orang awam. – SABAH MEDIA



