Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Rundingan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan hasil 40 peratus negeri itu masih diteruskan dan tidak terjejas oleh keputusan terkini Mahkamah Rayuan, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau menjelaskan bahawa kes mahkamah dan rundingan semasa melibatkan dua perkara yang berasingan.
“Kes yang dibawa oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) hanya berkaitan ‘lost years’, iaitu tunggakan. Keputusan Mahkamah Rayuan hanya menyentuh perkara itu dan tidak melibatkan tuntutan semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Memorandum Perjanjian (MOA) antara Kinara Energy Sdn Bhd dan Dayang Enterprise Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Masidi turut menegaskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan masih diteruskan bagi tuntutan semasa yang merangkumi tahun-tahun lebih terkini.
“Saya tidak fikir rayuan itu akan menjejaskan rundingan yang sedang berjalan kerana ini dua isu berbeza. Untuk rekod, kerajaan negeri membantah rayuan tersebut, namun Mahkamah Rayuan mendapati ada merit untuk mendengar kes berkenaan. Kita menghormati keputusan itu sebagai sebahagian daripada proses undang-undang,” katanya.
Menurutnya, walaupun kerajaan negeri lebih cenderung agar Kerajaan Persekutuan tidak meneruskan rayuan, Sabah tetap komited untuk meneruskan rundingan berkaitan tuntutan semasa 40 peratus.
Mengulas sama ada prosiding mahkamah akan melambatkan rundingan, beliau berkata garis masa perbincangan kekal tidak berubah.
“Apa yang terjejas hanya isu ‘lost years’. Rundingan bagi tuntutan semasa masih berjalan,” katanya.
Beliau menjelaskan, tuntutan “semasa” tidak melibatkan tunggakan, sebaliknya memberi fokus kepada hasil bagi tahun-tahun terkini termasuk tahun ini, tahun lalu atau tahun sebelumnya bergantung kepada skop yang dipersetujui.
Masidi turut mendedahkan bahawa Sabah telah mengemukakan tuntutan tersebut kira-kira dua tahun lalu dan sejak itu menekankan keperluan menetapkan garis masa yang jelas untuk penyelesaian.
“Kita tidak boleh berunding tanpa had masa yang jelas,” tegasnya.
Mengenai perkembangan rundingan, beliau berkata isu utama ketika ini ialah kaedah pengiraan kadar 40 peratus, khususnya dalam menentukan sumber hasil yang perlu dimasukkan.
“Ia memerlukan data menyeluruh mengenai hasil yang dikutip dari Sabah. Ada data yang tidak tersedia, dan kita faham perkara itu. Namun, kita mencadangkan supaya dimulakan dengan angka yang tidak dipertikaikan seperti data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kastam yang diterbitkan setiap tahun,” katanya.
Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai pendekatan praktikal dengan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih mudah diselesaikan terlebih dahulu, sementara perbincangan mengenai komponen lebih kompleks diteruskan.
“Kita masih menunggu maklum balas mengenai cadangan ini,” katanya.
Masidi turut menjelaskan bahawa tempoh 180 hari yang sering dirujuk hanya terpakai kepada kes mahkamah berkaitan ‘lost years’ dan tidak melibatkan rundingan semasa.
Ditanya sama ada sebarang angka telah dipersetujui, beliau berkata setakat ini tiada persetujuan dicapai.
“Kalau sudah ada angka dipersetujui, saya sudah umumkan,” katanya.
Mengenai jangka masa penyelesaian, beliau berkata ia sukar ditentukan, namun menegaskan proses itu tidak boleh berlarutan tanpa had.
“Perlu ada garis masa yang jelas, jika tidak rundingan boleh berlarutan tanpa penghujung,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar isu itu dapat diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang, namun menegaskan komitmen dan keikhlasan kedua-dua pihak adalah penting.
“Rundingan memerlukan kedua-dua pihak terlibat secara konstruktif ibarat ‘it takes two to tango’. Menetapkan tempoh secara sebelah pihak tidak akan membantu,” katanya.
Masidi berkata, sekiranya tiada persetujuan dicapai, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan penilai bebas bagi menentukan kelayakan Sabah.
“Kita memahami kekangan kewangan Kerajaan Persekutuan, namun pendekatan munasabah ialah bermula dengan angka hasil yang tidak dipertikaikan. Kita bersikap praktikal dan munasabah, dan berharap sekurang-kurangnya satu penyelesaian awal dapat dicapai supaya kemajuan dapat dibuat,” katanya.



