HomeUtamaSabah jana lebih RM5 juta jualan di MATTA Fair KL edisi April

Sabah jana lebih RM5 juta jualan di MATTA Fair KL edisi April

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Sabah mencatat prestasi memberangsangkan apabila berjaya menjana jualan melebihi RM5 juta pada MATTA Fair Kuala Lumpur April Edition 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan.

Pameran yang diadakan selama tiga hari itu merekodkan jumlah jualan mencecah RM5,098,153.74, dengan trend peningkatan konsisten setiap hari.

Pengusaha pelancongan dari Sabah merekodkan jualan RM812,156.32 pada hari pertama sebelum meningkat kepada RM1,425,231.32 pada hari kedua, dan memuncak kepada RM2,860,766.10 pada hari terakhir.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Jafry Ariffin berkata,  pencapaian kukuh itu mencerminkan permintaan tinggi terhadap produk pelancongan Sabah dalam kalangan pelancong domestik.

“Peningkatan jualan yang konsisten sepanjang pameran mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap pengalaman pelancongan Sabah.

“Platform seperti MATTA Fair memberi peluang kepada pemain industri untuk berhubung secara langsung dengan pasaran, dan kita akan terus menyokong penyertaan lebih besar daripada ejen tempatan bagi menterjemahkan minat ini kepada kunjungan sebenar,” katanya.

Beliau berkata, prestasi tahun ini turut mengatasi pencapaian RM4.5 juta yang direkodkan pada edisi April tahun lalu, yang disertai 43 ejen pelancongan, sekali gus membuktikan daya tahan sektor pelancongan domestik Sabah meskipun berdepan perubahan trend perjalanan dan cabaran baharu.

Pada edisi kali ini, Sabah Tourism Board (STB) bersama 37 ejen pelancongan dan pengembaraan dari Sabah mengendalikan kira-kira 100 reruai, menawarkan pelbagai pakej yang mengetengahkan keunikan produk negeri termasuk budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.

STB turut memperkukuh penjenamaan destinasi “Explore Sabah” serta mengetengahkan Pesta Kaamatan sebagai tarikan budaya utama, dengan menjemput pengunjung merasai sambutan pesta menuai yang berlangsung sepanjang bulan Mei di seluruh negeri.

Selain itu, ejen pelancongan digalakkan memasukkan elemen pelancongan berasaskan komuniti dalam pakej mereka bagi memberi peluang kepada pelancong berinteraksi dengan masyarakat tempatan, sekali gus menyokong pembangunan pelancongan mampan.

Sektor pelancongan Sabah kekal optimistik bahawa maklum balas positif yang diterima di MATTA Fair Kuala Lumpur akan diterjemahkan kepada peningkatan ketibaan pelawat dalam bulan-bulan mendatang.

RELATED ARTICLES
Utama

Ekonomi Biru pacu pertumbuhan baharu Sabah di bawah SMJ 2.0

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular