Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sabah memperkukuh struktur ekonominya dengan menjadikan Ekonomi Biru sebagai pemacu baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, selaras usaha melonjakkan pertumbuhan bernilai tinggi, inklusif dan mampan berasaskan kekuatan maritim negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim serta kekayaan biodiversiti Sabah, merangkumi sektor strategik seperti perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, pelan berkenaan diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur, sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri.
Menurutnya, sektor itu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga 2025, dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion.
Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali, dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya.
Beliau berkata, prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencapai RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menempatkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara.
Katanya, unjuran KDNK bagi 2025 dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil.
Menurutnya, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.
“Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran program TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan lebih luas kepada usahawan tempatan.
“Platform ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di negeri ini agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan, termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika dibangunkan secara strategik.



