HomeUtamaTH sedia RM210 juta bantu jemaah haji secara bersasar

TH sedia RM210 juta bantu jemaah haji secara bersasar

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar dengan peruntukan RM210 juta tahun ini bagi meringankan beban jemaah haji Muassasah.

Ketua Syariah Kumpulan TH, Imran Mohammad Khayat, berkata menerusi inisiatif itu jemaah kumpulan B40 hanya perlu membayar RM15,000 atau kira-kira 45 peratus daripada kos sebenar haji.

Imran (dua dari kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam.

“Manakala kumpulan M40 membayar RM23,500 atau kira-kira 71 peratus.

“Secara keseluruhan TH telah memperuntukkan lebih RM2.72 bilion menerusi HAFIS sejak diperkenalkan pada 2001,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Perdana Haji Musim Haji 1447H/2026M Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat), di sini pada Sabtu.

Di samping itu, beliau memaklumkan TH turut memperkenalkan inisiatif ‘Menuju Istito’ah’ yang menekankan persediaan menyeluruh sebelum menunaikan ibadah haji.

“Istito’ah merangkumi empat aspek utama iaitu kemampuan kewangan, kesihatan, keselamatan serta kuota atau kebenaran menunaikan haji.

“Melalui inisiatif ini, TH menggalakkan umat Islam membuat persediaan lebih awal melalui amalan menabung secara konsisten serta menjaga kesihatan diri,” katanya.

Imran (dua dari kiri) ketika bacaan doa di KPH.

Tambah beliau, TH menggalakkan pendeposit membuat potongan gaji atau potongan berkala melalui kaedah debit terus bagi memudahkan simpanan.

“TH turut menyediakan kalkulator simpanan haji di laman web rasminya bagi membantu pendeposit merancang simpanan dengan lebih teratur,” jelasnya.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pendeposit mempunyai simpanan mencukupi apabila tiba giliran menunaikan haji selain menikmati manfaat seperti agihan keuntungan, pelunasan zakat, pematuhan syariah dan jaminan kerajaan.

TH melaksanakan program ‘THoriq Ya Hajj’ yang menggalakkan bakal jemaah kekal aktif dan cergas melalui aktiviti berjalan kaki dengan pemantauan secara maya.

RELATED ARTICLES
Utama

SARHAT Taman-Taman Sabah sasar misi pendakian bertaraf dunia menjelang 2028

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular