Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner belum dapat menganggarkan bila inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan selesai sepenuhnya.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, setakat ini mahkamah tidak dapat membuat anggaran tersebut, namun mahkamah telah menetapkan tarikh pendengaran inkues sehingga Jun.
“Saya tidak dapat menyatakannya, kita tidak boleh menganggarkan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peguam Datuk Ram Singh yang meminta penjelasan mengenai jangka masa inkues tersebut akan diselesaikan.
“Saya ingin bertanya bila inkues ini akan selesai? Mungkin hujung tahun ini?” soal Ram Singh selepas saksi ke-68, iaitu pakar patologi forensik kanan Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, 74, selesai memberikan keterangan hari ini.
Ram Singh merupakan antara peguam yang mewakili Pelajar A dalam prosiding berkenaan.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya pada 17 Julai 2025 di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Prosiding inkues bersambung esok.



