SANDAKAN: Tindakan menjadikan rumah sebagai lokasi penyimpanan minyak masak paket bersubsidi tanpa kebenaran mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan dalam operasi di sini, Khamis lalu.
Dalam operasi kira-kira jam 9.47 malam itu, sepasukan pegawai KPDN berjaya menemukan sebanyak 1,139 kilogram minyak masak paket bersubsidi bersaiz satu kilogram setiap paket disimpan di dalam sebuah bilik rumah berkenaan, dipercayai tanpa sebarang kelulusan sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Joe Azmi Jamil berkata, siasatan awal mendapati individu yang berada di premis gagal mengemukakan permit atau lesen penyimpanan barang kawalan.
Beliau berkata, ia sekali gus menimbulkan syak berlaku pelanggaran undang-undang.
“Kesemua minyak masak berkenaan disita dengan anggaran nilai RM2,747, manakala seorang wanita tempatan berusia 20 tahun turut dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk denda dan penjara terhadap pesalah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Joe berkata, KPDN menegaskan akan terus memperhebat penguatkuasaan bagi mengekang penyelewengan barang bersubsidi serta memastikan bekalan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
” Pada masa sama, orang ramai digesa bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, selain tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan masyarakat,” katanya.



